PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ikhlas bekerjasama dengan DAP dan hanya menggunakan parti itu untuk mencapai objektifnya bagi menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pada awalnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim keberatan untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir dan memberi pesanan bahawa beliau mengenalinya lebih mendalam, tetapi akhirnya beliau bersetuju kerana melihat ada keperluan dalam strategi dan keperluan untuk menggabungkan pengaruh serta kuasa untuk bersatu dalam membentuk kerajaan baharu
“Pada ketika itu, pihak DAP amat ikhlas untuk bekerjasama dengan Dr. Mahathir bagi memastikan ada pentadbiran dalam satu kerajaan baharu yang boleh membawa pembaharuan.
“Kita mengharapkan bahawa Dr. Mahathir menggunakan peluang kedua untuk membawa pembaharuan dan kemajuan kepada negara contoh pada ketika itu wujudnya harapan ‘Malaysia Baharu’ selepas tahun 2018,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri seminar Keselamatan Wanita Dalam Transit dan Industri Pengangkutan di Sunway Resort di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia Melaporkan, Dr. Mahathir mendakwa dirinya dan DAP hanya saling mempergunakan satu sama lain pada 2018 untuk menjatuhkan pentadbiran Najib.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, demi mencapai matlamat, beliau percaya kepada pendekatan musuh kepada musuh anda adalah kawan anda.
“Kita nak guna DAP umpamanya, nak dapat majoriti. Kalau saya tak guna DAP, kita tak akan dapat majoriti dan Najib Razak akan terus jadi perdana menteri,” katanya podcast Keluar Sekejap hari ini bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Sufian Hamdan.
Anthony berkata, banyak perkara yang Dr. Mahathir mengetahui tetapi tidak mengaku, kononnya tidak membelakangi janjinya untuk menyerahkan kuasa dan menggunakan pelbagai alasan seperti Langkah Sheraton dan sebagainya.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad berterus terang bahawa sebenarnya tidak ada keikhlasan untuk bekerjasama dengan DAP dan hanya gunakan parti itu untuk mencapai objektifnya menumbangkan Najib,” katanya.-UTUSAN










