PETALING JAYA: Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), ANIH Berhad menjangkakan terdapat peningkatan jumlah trafik atau kenderaan bermula hari ini bersempena dengan sambutan perayaan Deepavali.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Imran Gulcharan Abdullah berkata, sebanyak 692,000 kenderaan akan menggunakan KLK bermula hari ini sehingga 13 November iaitu bersamaan dengan peningkatan sebanyak 73 peratus dari jumlah purata trafik harian biasa.
Kata beliau, aliran trafik di LPT1 pula dijangka sebanyak 284,000 bersamaan peningkatan 58 peratus daripada jumlah aliran purata trafik harian biasa.
“Cuti perayaan yang bersambung dengan cuti hujung minggu ini pastinya dimanfaatkan untuk bercuti bersama keluarga dan rakan taulan dalam tempoh lebih lama.
“Oleh itu, saya menggalakkan semua yang akan menggunakan lebuh raya menghala ke Pantai Timur menjadikan TTA (Cadangan Waktu Perjalanan) sebagai panduan agar perjalanan lebih lancar dan selesa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Imran Gulcharan berkata, pihaknya turut membuat persediaan dengan menambah bilangan kakitangan sokongan lebih daripada 60 peratus bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna semasa tempoh perayaan tersebut.
“Ia terdiri daripada petugas di plaza tol, pasukan LPT Ronda dan pasukan pusat kawalan trafik (TCC) sepanjang tempoh tersebut termasuk bersedia membuka laluan tambahan tol sekiranya perlu.
“Selain itu, seramai 150 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) akan ditempatkan di kawasan-kawasan strategik di seluruh lebuh raya bagi memastikan kelancaran trafik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Imran Gulcharan berkata, pengguna KLK dan LPT1 perlu mematuhi beberapa prosedur susulan pengumuman dilakukan kerajaan bahawa tol percuma sempena perayaan Deepavali bermula pada 11 November, 12.01 tengah malam hingga 12 November, 11.59 malam.
“Para pengguna Touch ‘n Go diingatkan untuk tetap menyentuh kad pada alat pengesan di lorong tol plaza dan memastikan baki semua mod pilihan pembayaran mencukupi.
“Pastikan keluar lebuh raya pada hari dan tempoh waktu yang ditetapkan,” katanya.
Tambahnya, semua pengguna lebuh raya diingatkan untuk supaya memberi keutamaan kepada keselamatan diri sendiri dan pengguna lain dengan mengamalkan pemanduan berhemah.
“Gunakan kawasan rehat dan rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu. Patuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada pegawai lebuh raya bagi memastikan keselamatan serta keselesaan semua terjamin,” katanya. – UTUSAN










