Berbilion dibelanja, SSL beras masih gagal

Berbilion dibelanja, SSL beras masih gagal

SEKUMPULAN pesawah mengambil upah menyemai benih dan menanam padi di sekitar Kampung Tambun Tulang, Arau, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Malaysia tidak sepatutnya berdepan isu bekalan makanan ruji memandangkan berbilion ringgit dibelanjakan menerusi pelbagai insentif dan projek pembangunan bagi memperkukuh tahap sara diri (SSL) beras.

Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, pihaknya hairan kerana kemerosotan kadar SSL beras negara masih berlaku dan menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan selama ini.

“Kadar sara diri beras sekitar 52.9 peratus pada 2024 itu masih terlalu jauh bagi mencapai sasaran yang pernah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini iaitu 75 peratus pada 2025 dan 80 peratus menjelang 2030.

“Siapa yang perlu bertanggungjawab atas kegagalan tersebut apabila berbilion ringgit telah dibelanjakan melalui pelbagai subsidi, insentif, projek pembangunan dan program peningkatan hasil namun SSL terus mengalami kemerosotan.

“Ke manakah perginya hasil pelaburan berbilion ringgit tersebut. Berapa jumlah sebenar peruntukan yang telah dibelanjakan, apakah pulangan yang diperoleh, siapa mendapat manfaat terbesar dan mengapa sasaran yang diumumkan (SSL) gagal dicapai,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Pada 12 Jun lalu, akhbar ini melaporkan, kadar sara diri beras negara menunjukkan trend menurun membimbang­kan daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 52.9 peratus pada 2024 dan meningkatkan kebergantungan Malaysia kepada import bagi menampung hampir separuh keperluan beras negara.

Kemerosotan itu berlaku se­cara konsisten sejak lima ta­hun lalu, daripada 62.1 peratus pada 2020 kepada 60.9 peratus (2021), 57.9 peratus (2022), 56.2 peratus (2023) dan 52.9 peratus pada 2024.

Mohd. Shazwan juga membangkitkan persoalan sama ada kerajaan mempunyai pelan kecemasan sekiranya negara pengeksport utama seperti India, Vietnam atau Thailand menghentikan eksport.

“Jika dasar kerajaan selama ini berjaya, pesawah sepatutnya semakin kuat, pengeluaran semakin meningkat dan negara semakin hampir kepada sara diri. Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kita juga mahu tanya apakah pelan tindakan konkrit untuk meningkatkan SSL daripada 52 kepada 80 peratus.

“Kegagalan menjawab persoalan ini hanya menguatkan persepsi bahawa kerajaan lebih gemar membuat pengumuman daripada menyelesaikan masalah sebenar dihadapi pesawah dan rakyat. ” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN