KAMPAR: Seorang wanita berumur 42 tahun menikam ibu kandungnya di bahagian dada kiri menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di Taman Wang, Menglembu, Ipoh dekat sini pada pukul 7 malam semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mohd. Alwi Zainal Abidin berkata, suspek mempunyai rekod psikiatri selain baru mengambil ibunya dari sebuah pusat jagaan orang tua di Pusing, Batu Gajah.
“Kes ini kita sudah buat tangkapan. Sebenarnya, ibunya baru saja diambil dari pusat jagaan orang tua di Pusing. Kemudian dijaga oleh anaknya dan menantu.
“Anak suspek ada rekod psikiatri. Mungkin disebabkan itu, dengan kerenah jagaan orang tua, dia pun tikam emaknya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar hari ini.
Katanya, pihaknya akan mendapatkan laporan hospital mengenai status mental suspek.
“Emak mangsa berumur sekitar 70-an. Memang terlantar, perlu penjagaan yang rapi.
“Pisau kita dapat rampas yang suspek gunakan. Tikaman di bahagian dada sebelah kiri, sekali tikaman,” katanya.
Jelasnya, laporan polis dibuat oleh menantu lelakinya yang merupakan suami suspek.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek telah ditahan reman sehingga 4 Oktober ini.
Sementara itu, Mohd. Alwi berkata, anak lelaki kepada wanita orang kurang upaya (OKU) yang mati dibunuh di rumahnya di Kampung Cheh Hilir, Kati, Kuala Kangsar pada 23 September lalu telah dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta untuk rawatan lanjut.
Ujarnya, remaja berumur 15 tahun itu sebelum ini telah direman bersama bapanya berumur 44 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
“Suami mangsa masih lagi dalam tempoh reman untuk siasatan. Hanya remaja berkenaan dihantar ke hospital di Ulu Kinta,” katanya. – UTUSAN











