Industri insurans dijangka catat pertumbuhan sederhana 

Industri insurans dijangka catat pertumbuhan sederhana 

TUNE Protect Group.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Industri insurans am dijangka terus mencatat pertumbuhan yang sederhana dalam tempoh terdekat, dipengaruhi oleh ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik global yang masih berlarutan.

Ketua Pegawai Strategi Tune Protect Group, Koot Chiew Ling berkata, Tune Protect yakin mampu mencatat pertumbuhan yang mengatasi purata industri melalui strategi kepelbagaian perniagaan, pengembangan produk digital dan pengukuhan segmen insurans am.

Katanya, pihaknya menjangkakan pertumbuhan syarikat lebih baik daripada industri secara keseluruhan kerana mempunyai pelbagai sumber pendapatan dan peluang baharu dalam segmen produk pelengkap.

“Tune Protect menetapkan tiga teras utama perniagaan sebagai pemacu pertumbuhan syarikat bagi tahun 2026, merangkumi perniagaan insurans am, pengembangan serantau serta pembangunan produk dan perkhidmatan bukan insurans.

“Bagi segmen domestik yang melibatkan perniagaan insurans am seperti motor dan kebakaran, fokus utama tahun lalu adalah untuk mengukuhkan keuntungan syarikat.

“Matlamat itu telah dicapai. Tahun ini, tumpuan kami beralih kepada pertumbuhan yang mampan dan menguntungkan, khususnya seperti segmen motor yang berhasil menjadi satu daripada pemacu utama perniagaan,” katanya.

Bagi perniagaan serantau pula, beliau berkata, Tune Protect akan terus memperluas kehadiran dalam insurans perjalanan di luar Malaysia, namun mengambil pendekatan lebih berhati-hati berikutan ketidaktentuan geopolitik global.

Katanya, syarikat turut meneroka peluang baharu dalam ekosistem perjalanan, termasuk memperkukuh kerjasama dengan lebih banyak ejen pelancongan dalam talian (OTA) serta pelancongan tradisional.

“Sementara itu, teras ketiga yang melibatkan produk dan perkhidmatan pelengkap bukan insurans menunjukkan perkembangan memberangsangkan sejak diperkenalkan tahun lalu.

“Antara produk yang mendapat sambutan positif ialah Delay Lounge Pass, yang mencatat pertumbuhan enam kali ganda dan menjana kira-kira RM20 juta hasil,” katanya.

Selain itu, Chiew Ling berkata, Tune Protect turut menawarkan perkhidmatan seperti eSIM perjalanan dan perkhidmatan pemindahan lapangan terbang sebagai nilai tambah kepada pelanggan.

“Matlamat kami bukan sekadar menjadi syarikat insurans am tradisional, tetapi pemain digital yang menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih menyeluruh di luar perlindungan insurans,” katanya.

Mengulas prospek industri, beliau berkata, konflik geopolitik yang berterusan, khususnya di Asia Barat menjadi antara cabaran utama kepada syarikat yang menjalankan perniagaan insurans perjalanan. 

“Ketidaktentuan tersebut boleh menjejaskan permintaan perjalanan, sekali gus memberi kesan tidak langsung kepada perniagaan Tune Protect.

“Setakat ini kami melihat sedikit kelembapan dalam segmen perjalanan perniagaan ke perniagaan (B2B), namun keadaan masih terkawal dan dipantau secara rapat,” katanya.

Katanya, peluang pertumbuhan dalam perjalanan domestik dan intra-ASEAN dijangka terus berkembang ketika pelancong memilih destinasi yang dianggap lebih stabil.

Bagi mengimbangi risiko dalam segmen perjalanan, beliau berkata, Tune Protect turut memperkukuh perniagaan insurans am dengan memperluaskan kerjasama dalam sektor automotif, termasuk rangkaian francais kenderaan, syarikat e-dompet dan bank digital, selain memperkenalkan perkhidmatan nilai tambah seperti khidmat parkir valet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN