KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tom, 37, menyatakan kesediaan untuk meninggalkan bidang nyanyian di kelab malam.
Peserta Famili Duo musim ketiga itu memaklumkan keputusan itu bagi menghormati permintaan suami dan untuk memberi tumpuan kepada bidang nyanyian mainstream.
“Sebenarnya saya perlahan-lahan tinggalkan sejak sertai sebuah program realiti tahun lepas. Lepas terkeluar program itu, saya kembali ke kelab malam tapi timbul rasa tak selesa bila penonton rakam saya menyanyi ketika itu.
“Suami pun nasihatkan agar saya tinggalkan menyanyi di kelab malam. Mungkin sampai masa saya alihkan perhatian pada suami dan keluarga serta kerjaya muzik mainstream pula,” katanya.
Tom berkahwin dengan penyanyi Fuad Rahman sekitar awal tahun ini di Batam, Indonesia.
Tom dalam masa sama mengakui menyimpan perasaan rindu untuk menyanyi di kelab malam, bagaimanapun sedar perlu berubah angin untuk kelangsungan kerjaya nyanyian.
“Rindu tengok kawan-kawan nyanyi di kelab malam. Saya dah 20 tahun di kelab malam, rasa sudah puas. Teringin nak ‘rasa’ kerjaya di arus perdana pula.
“Tapi kita tak tahu rezeki kita di mana. Kalau setakat buat showcase di kelab malam, kena pula dengan bayaran lumayan, saya pertimbangkan. Cuma kalau nak menyanyi secara tetap di sana, tidak,” kongsinya.
Sementara itu pemilik nama sebenar Raja Farah Afzal Raja Ikram ini meminta orang ramai mengikis persepsi buruk terhadap penyanyi kelab malam.
“Penyanyi kelab malam pandai jaga diri, bukan seperti yang orang awam sangkakan,” ujarnya.