PETALING JAYA: Negara berada dalam bahaya jika terus membiarkan pemimpin bebas dan sengaja mencetuskan kebencian dalam kalangan orang ramai dan memusuhi satu sama lain.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ia sesuatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak memberi sebarang manfaat kepada negara.
“Amatlah berbahaya kepada negara membiarkan sesiapa sahaja apatah lagi dalam kalangan yang diangkat sebagai pemimpin berperangai saling mencela dan saling menghina yang berpotensi mencetuskan kebencian dan bakal menyalakan api permusuhan.
“Negara tidak boleh dibiarkan menjadi mangsa kepada tindak tanduk dan perbuatan tidak bertanggungjawab yang dilakukan oleh pemimpin samaran,” titahnya di Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-63 di Dewan Tunku Canselor Universiti Malaya hari ini.
Titahnya, pemikiran serta cara-gaya dan teladan yang ditayangkan oleh pemimpin-pemimpin samaran dan pengikutnya, bagai adukan kebenaran dan kepalsuan serta campuran hak dan batil yang merupakan ramuan kekeliruan.
“Ia didakyahkan ketika kaum Muslimin sudah tenat keliru, putus asas kewarasan akal, serta semangatnya dalam keadaan kacau, tiada berdaya meresapi lagi kekeliruan tambahan, lalu membawa kesan buruk pada kefahaman awam yang terpengaruh, akibatnya pemimpin yang palsu itu disamatarafkan dengan pemimpin yang benar.
“Lalu berlaku kebingungan yang teruk kerana ketiadaan adab, tidak hanya bererti rosaknya ilmu (corruption of knowledge) tetapi ketidakmampuan mengakui pemimpin yang benar, di sebaliknya memberi jalan dan mendukung munculnya pemimpin palsu,” titahnya.
Justeru, titahnya, Rukun Negara yang diperkenalkan pada 31 Ogos 1971 perlu menjadi rujukan semua pihak setelah asas perpaduan kaum dilihat rapuh dan goyah ketika berlakunya pergaduhan dan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 susulan berlakunya perang mulut dan laungan-laungan menyentuh sentimen kaum dan agama yang telah mencetuskan ketegangan kaum.
“Jadikan pengajaran daripada peristiwa pahit pada 1969 untuk segera dilakukan langkah-langkah preventif, menghentikan suara-suara provokatif yang memilih meniupkan bara pertelingkahan berasaskan kaum dan agama,” titahnya.
Selain itu, baginda juga menyuarakan kebimbangan terhadap aspek budi bahasa dan sopan santun yang semakin diketepikan, bukan oleh golongan yang tiada berpendidikan atau tidak berjawatan tinggi tetapi dikorbankan oleh kumpulan yang berpelajaran tinggi, berjawatan dan bergelaran.
“Ia berlaku bukannya di tepi-tepi jalan atau di pasar, tetapi berlaku di pentas, tempat dan dewan yang memiliki status kemuliaan, malah ada kalanya berlaku di tempat-tempat ibadah.
“Bahasa-bahasa kesat, lucah, fitnah, cerca, caci, memaki hamun dan menghina, semakin kedengaran, disuarakan tanpa segan silu, malah dilakukan oleh pihak-pihak tertentu dengan kemegahan dan kebanggaan,” titahnya.
Oleh itu, baginda selaku Canselor Universiti Malaya menyifatkan universiti perlu memainkan peranan sebagai institusi mengilmukan warga yang dapat membezakan antara intan dan kaca, antara pemimpin yang tulen dengan pemimpin samaran.
“Universiti hendaklah menjadi taman didikan yang berupaya melahirkan warga yang berjiwa besar, warga yang mengamalkan semangat hormat-menghormati, warga yang berupaya berinteraksi dalam suasana harmoni, warga yang sopan dan memiliki tatasusila, dan warga yang beradab dan bertamadun.
“Universiti hendaklah menjadi taman asuhan mengasuh warga untuk menghargai budaya syura, budaya yang mengamalkan penyuaraan pendapat secara tertib lagi bersopan, berhujah dengan fakta, dilangsungkan secara beradab; dan semangat bermesyuarah untuk mengolah resipi penyatuan secara terhormat ketika berhadapan pandangan yang berlainan,” titahnya.
Titahnya lagi, nilai kesopanan dan kesusilaan merupakan asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan negara yang sejahtera.
“Sedarilah perilaku warga apatah lagi dalam kalangan pemimpin akan memberikan imej, wajah dan identiti negara kita di mata dunia. Kesopanan dan kesusilaan yang diamalkan oleh warga merupakan suatu ukuran kemajuan dan ketamadunan negara,” katanya. -UTUSAN