PETALING JAYA: Fenomena penggunaan bas sekolah haram semakin membimbangkan apabila kekurangan pengusaha berlesen mendorong ibu bapa bergantung kepada perkhidmatan yang tidak mematuhi piawaian keselamatan
Pengerusi Persatuan Bas Sekolah, Amali Munif Rahmat berkata, pengusaha bas haram bukan sahaja tidak tertakluk kepada piawaian dan pemeriksaan sekali gus berisiko tinggi kepada nyawa pelajar sepanjang perjalanan pergi balik ke sekolah.
Katanya, sejak Covid-19 banyak syarikat gulung tikar dan mendorong kewujudan pemandu bas haram untuk mengisi permintaan.
“Kami menerima maklumat daripada beberapa negeri bahawa operator semakin berkurang. Kekurangan ini menyebabkan bas haram masuk ke pasaran.
“Operator tidak berdaftar bukan sahaja tidak tertakluk kepada piawaian dan pemeriksaan keselamatan, malah tidak layak menerima subsidi diesel, menyebabkan mereka mengenakan kadar tambang lebih tinggi kepada ibu bapa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Amali Munif berkata, pihaknya mengakui kenaikan harga tambang bas sekolah mungkin dijangka berdepan semakan harga bagi operator sah susulan peningkatan kos operasi yang kian menekan.
“Kadar tambang tidak boleh kekal statik kerana pelbagai kos penyelenggaraan, pemeriksaan berkala dan komponen teknikal ditanggung sepenuhnya oleh operator.
“Antara faktor lain ialah insurans yang melonjak daripada sekitar RM800 hingga RM900 kepada lebih RM1,000, selain alat ganti dan pengapungan subsidi diesel yang turut menambah beban,” katanya.
Menurutnya, sejak 1 Januari 2015, kerajaan tidak lagi mengawal selia kadar tambang bas sekolah, menyebabkan penetapan harga bergantung kepada operator masing-masing.
Amali menggesa kerajaan mengambil langkah memutihkan operator tidak sah dan memudahkan urusan pembiayaan agar mereka boleh berdaftar dan mematuhi peraturan.
“Kalau kerajaan boleh biayai pengangkutan awam lain, tidak mustahil tambang bas sekolah diserap demi kepentingan rakyat,” katanya.
Sesi persekolahan tahun 2026 dijangka bermula pada minggu kedua Januari, dengan sekolah di negeri-negeri kumpulan A (Kedah, Kelantan dan Terengganu) membuka sesi pada 11 Januari.
Manakala, negeri-negeri lain di kumpulan B (Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan & Wilayah Persekutuan Putrajaya) bermula pada 12 Januari, menurut takwim akademik Kementerian Pendidikan untuk sesi baharu. – UTUSAN










