Tiga individu rentung, kereta terbakar selepas langgar lori sampah - Utusan Malaysia

Tiga individu rentung, kereta terbakar selepas langgar lori sampah

TIGA individu rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas melanggar sebuah lori sampah dalam kejadian di kawasan perindustrian Bercham, Ipoh semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tiga individu rentung apabila kereta dinaiki mereka terbakar selepas melanggar sebuah lori sampah dalam kejadian di kawasan perindustrian Bercham di sini semalam.

Setakat ini, identiti ketiga-tiga mangsa dipercayai lelaki itu masih belum dikenal pasti.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh, Mohd. Azman Husin berkata, sepasukan anggota telah diatur gerak ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.05 malam.

Katanya, setibanya anggota di lokasi, didapati kebakaran melibatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang terbakar akibat merempuh bahagian hadapan lori sampah.

“Anggota bomba segera menjalankan operasi pemadaman sebelum bantuan kren digunakan bagi mengalihkan lori sampah tersebut.

“Setelah lori berkenaan dialihkan, didapati terdapat tiga orang mangsa yang telah rentung berada di dalam kereta. Ketiga-tiga mangsa dipercayai lelaki namun identiti mereka belum dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebakaran itu menyebabkan kereta mangsa musnah terbakar kira-kira 95 peratus manakala lori sampah pula terbakar di bahagian hadapan dianggarkan sebanyak 50 peratus.

“Kesemua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 11.35 malam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya