ARAU: Jelas terpancar wajah kegembiraan tiga beradik apabila dapat bersama menaiki pentas pada Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-18 kali ini.
Anis Najwa Azahari, 27; Anis Sobirah Azahari, 22, dan Waiz Fitri Azahari, 21, dari Sungai Petani, Kedah menerima ijazah masing-masing pada majlis konvokesyen yang berlangsung empat hari bermula Sabtu lalu.
Anis Najwa menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Sains Bioperubatan; Anis Sobirah pula dalam bidang Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu manakala Waiz Fitri memperoleh Diploma Kejuruteraan Mekatronik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Anis Najwa berkata, dia dan adik-beradik lain sememangnya teruja apabila dapat meraikan hari bersejarah itu secara bersama dalam satu majlis konvokesyen.
“Sewaktu adik-beradik memilih menyambung pengajian di Unimap, saya memang sudah menjangkakan kami akan meraikan majlis konvokesyen bersama.
“Kebetulan ia menjadi realiti dan kami bertiga dapat bersama menerima skrol pada majlis konvokesyen kali ini,” katanya.
Menerusi Sidang Ketujuh Istiadat Konvokesyen Ke-18 Unimap semalam, seramai 498 graduan menerima skrol ijazah disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap.
Anis Najwa berkata, pada peringkat permulaan, Unimap bukannya pilihan utama sewaktu mengisi permohonan Unit Pengambilan Universiti (UPU), namun apabila mendapat penempatan bersama, mereka memutuskan untuk menyambung pembelajaran di institusi berkenaan.
Katanya, dia merancang untuk mencari peluang pekerjaan selepas ini manakala dua adiknya yang lain akan menyambung pengajian jika mendapat tawaran.
“Ibu bapa bangga dengan pencapaian ini dan mereka hanya perlu hadir satu majlis konvokesyen sahaja,” katanya. – UTUSAN










