KOTA TINGGI: Tempoh berkempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu dijadikan platform menyemai perpaduan antara rakyat berbilang kaum dan bukan medan menyemai kebencian.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sehubungan itu berkata, semua parti politik yang terlibat perlu menjadikan demokrasi sebagai platform menawarkan idea dan menyelesaikan masalah rakyat.
“Kita mahu mengajak kepada perpaduan rakyat, mengajak kepada penubuhan kerajaan yang lebih kuat. Kita perlu berkempen secara berhemah, bukan lakukan serangan-serangan tidak berasaskan fakta dan sebagainya.
“Kita tidak akan lakukan kempen seperti itu. Kita mengajak rakyat Johor terutamanya orang Melayu untuk menggunakan tempoh pilihan raya ini bagi menjayakan demokrasi sebagaimana yang diamal di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jentera Amanah PRN Johor Peringkat Zon Utara, di sini malam tadi.
Tambah Mohamed Khaled, Barisan Nasional (BN) akan menggunakan strategi kempen berhemah dan tidak akan terperangkap dengan politik fitnah dan penipuan.
“Demokrasi yang telah lama diamalkan di negara ini telah menjadi asas kepada kestabilan dan pembangunan dalam negara, jadi ia mesti dijaga dan tidak dirosakkan,” katanya.
Pada 12 Jun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh penamaan calon bagi PRN Johor akan diadakan pada 27 Jun ini, manakala 7 Julai sebagai tarikh undi awal dan 11 Julai hari mengundi.
Penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pula ditetapkan pada pada 18 Julai, dengan pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai manakala 1 Ogos merupakan hari mengundi.-UTUSAN










