BATU PAHAT: Pertikaian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR selesai apabila kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) membuat keputusan akhir.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya akur kerusi DUN Puteri Wangsa itu akan ditandingi calon PKR menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Tidak mengapa, kita akur dengan kemahuan PKR, Amanah lebih mengutamakan kerjasama dan kesetiaan dalam gabungan PH ini. Walaupun itu kerusi tradisi kita, tetapi apabila mereka mahukan maka tertutuplah peluang kita.
“Kami berlapang dada melepaskan kerusi itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Jentera Amanah PRN Johor Peringkat Zon Utara, di sini malam tadi.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin negeri Amanah dan PKR menzahirkan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN Puteri Wangsa pada PRN Johor akan datang, selepas menyerahkan kerusi itu kepada calon daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada PRN lalu.-UTUSAN










