Tidak terburu buat konsert, enggan sadur lagu penyanyi lain - Utusan Malaysia

Tidak terburu buat konsert, enggan sadur lagu penyanyi lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAR, tidak perlu terkejar. Itulah prinsip yang dipegang penyanyi, Hazama, ketika deretan artis berlumba-lumba mengadakan konsert. Bukan tidak pernah menerima tawaran atau diundang mengisi slot di mana-mana festival, namun penyanyi Penglipur Lara itu belum bersedia menggalas tanggungjawab sebesar itu. 

Menurut pemilik nama penuh Hazama Ahmad Azmi, menerusi konsert, peminat akan menilai ‘jenama’ sebenar lagu-lagu seseorang artis. 

Oleh itu, artis wajib mempunyai beberapa album  dengan repertoire atau portfolio muzik yang kukuh agar tidak menyadur lagu penyanyi lain semasa konsert. 

“Saya tidak mahu terburu-buru mengadakan konsert dan fokus untuk membina repertoire. Perkara ini penting agar semasa konsert sendiri, saya tidak  ‘cover’ lagu orang lain.

“Bagi saya, penyanyi hanya layak mengadakan konsert jika repertoire mereka sudah kukuh. Ia macam sebuah rukun konsert. Contohnya seperti Judika, kita tahu jenamanya sebagai artis yang selalu menyanyikan lagu bertemakan patah hati. Ia jelas. 

“Konsert bukan tempat untuk mengaut keuntungan. Saya tidak mahu mengadakan konsert separuh masak kerana itu akan membuatkan peminat serik,” katanya kepada hits.

Jika seseorang penyanyi pernah mempunyai lagu yang menjuarai carta, konsert adalah kayu ukur sebenar untuk melihat sama ada lagu tersebut benar-benar diingati pendengar atau sebaliknya.

“Selalunya untuk tahu bahawa lagu-lagu kita betul-betul memukau orang, kita akan dapat lihat semasa konsert. Adakah pengunjung bernyanyi bersama atau sekadar tegak berdiri. 

“Konsert juga akan menunjukkan energi seseorang artis dan momentum mereka membawa persembahan selama berjam-jam. Sebab itu konsert diibaratkan sebagai hadiah terbesar seseorang penyanyi untuk peminat,” tambahnya.

Usahakan album terbaru

Sebagai usaha dan strategi menuju konsert sulung, calon kategori Penyanyi Lelaki Popular pada ABPBH 29 itu sedang mengusahakan album terbaharunya. 

Menariknya, album yang dijangka menemui pendengar tahun hadapan ini diterbitkan sepenuhnya oleh Hazama. 

“Sebelum ini lagu saya kebanyakannya melankolik dan hanya sesuai dipersembahkan dalam dewan tertutup. Oleh itu, untuk album akan datang, saya akan menampilkan muzik yang lebih semangat dan sesuai dibawa di mana-mana persembahan. 

“Jika sebelum ini lagu saya dihasilkan dengan mengikut acuan dan idea penerbit lain, kali ini saya mencabar diri untuk menghasilkan karya mengikut acuan saya sendiri. 

“Walaupun masih di dalam genre yang sama, namun lagu saya akan tampil lebih segar kerana saya bereksperimentasi dengan pertukaran beberapa kod berbeza,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN