Tiada caj potong ayam di Melaka

Tiada caj potong ayam di Melaka

RATA-RATA peniaga di Pasar Besar MBMB di Bachang, Melaka menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram tanpa mengenakan caj pemotongan kepada pelanggan. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Peniaga tidak lagi mengenakan caj pemotongan ayam kepada pelanggan susulan penamatan harga kawalan dan subsidi sepenuhnya oleh kerajaan.

Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bachang di sini mendapati, tiada peniaga yang mengenakan caj pemotongan ayam.

Peniaga, Muhamad Fauzi Alias, 40, berkata, pengapungan harga ayam menjadikan penetapan harga lebih fleksibel dalam mengimbangi kenaikan kos daripada pembekal.

“Ini adalah kali pertama saya menjual ayam tanpa subsidi. Bagi saya cara ini lebih baik kerana peniaga dapat menetapkan sendiri harga ayam sekiranya berlaku kenaikan kos daripada pihak pembekal atau pemborong.

“Selain itu, pemansuhan harga kawalan tidak lagi membebankan peniaga. Jadi tiada sebab saya perlu kenakan caj pemotongan kepada pelanggan kerana harga ayam kini ditentukan mengikut pasaran terbuka,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi peniaga, Salehuddin Maarop, 52, berkata, dia berpuas hati dengan keuntungan yang diperolehinya walaupun menjual ayam pada harga RM8.90 sekilogram.

Menurutnya, sebelum ini peniaga terpaksa mengenakan caj pemotongan kerana mahu mengambil sedikit keuntungan daripada perkhidmatan yang diberikan.

“Dulu sukar nak dapat untung sebab harga ayam dikawal pada RM9.40 sekilogram dan ditambah pula peningkatan kos daripada pembekal. Tetapi selepas harga diapungkan saya boleh menetapkan harga sendiri

“Jika kos ayam naik, saya akan naikkan sedikit harga jualan dan begitu sebaliknya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka, Norena Jaafar berkata, harga ayam yang dipamerkan di setiap premis adalah harga sebenar termasuk dengan khidmat pemotongan.

“Kalau ada peniaga yang kenakan caj tambahan, terpulang kepada pengguna sama ada mahu membeli di kedai itu atau tidak. Perlu diingat apabila kita mengapungkan harga,  pasaran menjadi bebas dan peniaga boleh menjual pada harga yang berlainan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN