ARAU: Kehadiran ibu kandung yang terpisah sejak kecil mengundang hiba buat seorang graduan, Firdaos Yusof, 24, sewaktu menerima ijazah pada sidang kelima Istiadat Konvokesyen Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Ke-18 di Dewan Ilmu, Pauh Putra di sini semalam.
Firdaos terpisah dengan ibu kandungnya, Fadhilah Nik Mat, 60, sejak berusia enam bulan selepas diserahkan kepada keluarga angkat di Gombak, Selangor.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Firdaos berkata, dia sememangnya terharu apabila ibu kandungnya dapat hadir meraikan hari bersejarah itu selepas berjaya menamatkan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Perniagaan.
“Perasaan saya bercampur baur disebabkan ibu kandung yang telah terputus hubungan dapat turut sama dalam majlis konvokesyen ini.
“Saya juga berasa sedih apabila ibu dan ayah angkat yang selama ini menjaga dan banyak membantu saya dalam pembelajaran sebelum ini tidak sempat bersama kerana kedua-dua mereka telah meninggal dunia,” katanya.
Menerusi sidang kelima Istiadat Konvokesyen Unimap Ke-18, Firdaos merupakan antara 450 graduan yang menerima skrol ijazah disampaikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap.
Menurut Firdaos, dia mula mengesan ibu kandungnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak menyangka dapat bertemu semula.
“Sejak kecil saya pernah bertemu dengan ibu hanya beberapa kali dan disebabkan itu saya cuba mengesannya semula selepas PKP. Dan dia (ibu) juga bersetuju datang meraikan konvokesyen saya bersama kakak angkat,” katanya.
Firdaos berkata, dia juga masih belum membuat keputusan sama ada ingin melanjutkan pelajaran memandangkan sedang berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik (Parlimen) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda). – UTUSAN










