PETALING JAYA: Seramai 34,678 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.0 ke atas berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Keputusan STPM menyaksikan sebanyak 90.91 peratus daripada 38,144 calon yang menduduki peperiksaan itu berjaya memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 2.0 sekali gus memenuhi syarat asas kemasukan universiti awam.
Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, PNGK 2.0 merupakan syarat minimum asas untuk memohon kemasukan ke IPTA meskipun terdapat program pengajian mempunyai syarat khas yang berbeza mengikut bidang tertentu.
“Hal ini kerana terdapat program-program tertentu seperti perubatan, farmasi, pergigian, kejuruteraan dan undang-undang biasanya menetapkan syarat akademik yang lebih tinggi. Namun secara umumnya, calon memperoleh PNGK 2.0 layak memohon ke IPTA membabitkan kursus lain.
“Bagaimanapun, terdapat juga program tertentu khususnya dalam bidang seni yang boleh mempertimbangkan calon dengan pencapaian akademik lebih rendah kerana penilaian turut mengambil kira bakat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Kelmarin, keputusan STPM menunjukkan 90.91 peratus daripada 38,144 calon yang menduduki peperiksaan itu berjaya memperoleh PNGK sekurang-kurangnya 2.0 manakala 3,466 calon lagi mencatatkan PNGK di bawah paras berkenaan.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Datuk Md Amin Md Taff berkata, bilangan calon STPM 2025 yang memperoleh PNGK 4.00 meningkat kepada 1,336 orang, sekali gus mencerminkan peningkatan prestasi akademik keseluruhan calon.
Menurut beliau, sebanyak 3.50 peratus daripada keseluruhan calon STPM 2025 berjaya meraih PNGK 4.00, selari dengan peningkatan PNGK Nasional kepada 2.88, iaitu pencapaian tertinggi sejak sistem peperiksaan baharu STPM diperkenalkan pada 2013.
Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, calon STPM yang tidak memenuhi syarat kemasukan ke program ijazah masih berpeluang melanjutkan pengajian menerusi beberapa laluan alternatif yang ditawarkan institusi pendidikan tinggi.
Katanya, mereka boleh menggunakan keputusan SPM untuk memohon program sijil, diploma atau program lain yang bersesuaian sebelum menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Ramai orang hanya melihat keputusan STPM tetapi mereka terlupa bahawa keputusan SPM juga boleh digunakan sebagai laluan untuk menyambung pengajian.
“Sebagai contoh, seseorang yang memperoleh lima kredit dalam SPM masih mempunyai peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat diploma,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, pelajar yang memenuhi syarat minimum kemasukan ke IPTA bukan jaminan mendapat tempat pengajian kerana pemilihan mengambil kira faktor merit.
“Pelajar justeru dinasihatkan supaya membuat semakan terlebih dahulu sebelum menerima sebarang tawaran pengajian terutama tawaran yang hanya mengenakan syarat kelayakan minimum.
“Mereka perlu memastikan program yang ditawarkan mendapat akreditasi MQA bagi mengelakkan pembaziran masa, tenaga dan wang,” katanya.
Beliau berkata, semakan bagi program tempatan boleh dibuat melalui Daftar Kelayakan Malaysia (MQR), manakala tawaran universiti luar negara pula boleh dirujuk melalui senarai berkaitan disediakan MQA.
“Pelajar yang tidak berjaya mendapat tempat di universiti masih mempunyai laluan lain termasuk bidang kemahiran yang kini tidak lagi dianggap sebagai laluan kelas kedua. Laluan akademik dan kemahiran mempunyai kekuatan masing-masing serta memenuhi keperluan industri,” katanya.
Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohamad Adib Hazim berkata, keperluan kuota rayuan UPU dan ambilan kedua di peringkat IPTA perlu ditambah bagi mengimbangi lambakan calon cemerlang terutamanya mereka yang meraih pencapaian PNGK tertinggi.
“Langkah ini dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam memberikan jaminan penempatan optimum kepada pelajar STPM yang berjaya,” katanya.
Mohamad Adib berkata, pengukuhan laluan alternatif seperti Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) peringkat tinggi dan rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) adalah satu anjakan paradigma yang tepat pada masanya.
“Memandangkan 93.79 peratus daripada calon STPM 2025 adalah daripada aliran sains sosial, kemasukan mereka ke program Ijazah Sarjana Muda Teknologi di institusi teknikal dan politeknik konvensional akan melahirkan tenaga pakar industri yang sangat diperlukan negara,” katanya.-UTUSAN










