PETALING JAYA: Pasaran modal hutang (DCM) Malaysia dijangka mencecah AS$640 bilion (RM2.65 trilion) menjelang akhir 2026, disokong oleh peningkatan pinjaman bukan kerajaan, pasaran domestik yang kukuh, pengukuhan nilai ringgit, inovasi berterusan serta integrasi digital.
Sukuk token pertama Malaysia telah diterbitkan pada separuh pertama 2026, manakala peraturan baharu berkaitan hutang swasta dijangka mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif untuk pertumbuhan pasaran.
Ketua Global Kewangan Islam Fitch Ratings, Bashar Al Natoor berkata, permintaan pelabur asing terhadap instrumen hutang Malaysia kekal berdaya tahan.
“Ini meskipun berdepan ketidaktentuan global, didorong oleh pengukuhan ringgit, pulangan yang stabil serta kedalaman dan kematangan pasaran modal hutang tempatan.
“Malaysia juga dijangka terus kekal sebagai antara pasaran sukuk terbesar dunia serta antara pasaran modal hutang terbesar di ASEAN.
“Selain itu, semua sukuk Malaysia yang dinilai Fitch berada dalam kategori gred pelaburan,” katanya.
Menurut Fitch Ratings, nilai tertunggak pasaran modal hutang Malaysia melebihi AS$610 bilion (RM2.53 trilion) setakat akhir Mei 2026, meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun, dengan sukuk merangkumi kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan pasaran.
“Sebanyak 58 peratus daripada nilai tertunggak pasaran modal hutang terdiri daripada hutang kerajaan.
“Namun, sasaran kerajaan untuk mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau lebih rendah menjelang 2030 berpotensi mengehadkan penerbitan hutang kerajaan pada masa hadapan,” ujarnya.
Fitch berkata, penerbitan hutang kerajaan susut kira-kira 25 peratus dalam tempoh lima bulan pertama 2026.
“Penerbitan bukan kerajaan pula meningkat 17 peratus tahun ke tahun dan menyumbang 68 peratus daripada keseluruhan penerbitan pasaran modal hutang, berbanding 58 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.
“Sementara itu, perkembangan pembiayaan berasaskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan nilai hutang ESG tertunggak meningkat 44 peratus kepada AS$20 bilion (RM82.91 bilion) disokong oleh insentif cukai,” katanya.
Dalam pada itu, firma itu berkata, hasil bon kerajaan Malaysia kekal stabil sepanjang 2026 walaupun ketidaktentuan global berterusan, manakala kebanyakan sukuk Malaysia yang dinilai mempunyai tahap kecairan yang jauh lebih tinggi berbanding sukuk di kebanyakan negara lain.
“Konflik di Asia Barat memberi kesan langsung yang terhad kepada pasaran modal hutang Malaysia memandangkan majoriti penerbit dan pelaburnya adalah dari dalam negara.
“Mengenai risiko pula faktor seperti pengurangan pinjaman kerajaan, sentimen pelabur yang lebih berhati-hati, turun naik ringgit dan kadar faedah, perubahan harga komoditi, tekanan inflasi serta kesan tarif Amerika Syarikat (AS) berpotensi menjejaskan pertumbuhan pasaran modal hutang negara. – UTUSAN










