Terengganu perhebat program Wacana Perundangan Syariah - Utusan Malaysia

Terengganu perhebat program Wacana Perundangan Syariah

MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kerajaan negeri akan memperhebatkan lagi penganjuran program Wacana Perundangan Syariah Terengganu untuk memberi penerangan dan kefahaman kepada umat Islam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program tersebut juga adalah tanda solidariti umat Islam di Terengganu dalam suasana berlakunya pencabaran undang-undang syariah di Kelantan ketika ini.

Menurutnya, negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis (SG4) akan memberi penerangan berkaitan isu perundangan syariah dalam skala yang lebih besar selepas ini.

“Cabaran yang berlaku terhadap Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang telah menggubal dan meluluskan enakmen jenayah syariah memberi implikasi yang besar kepada negeri-negeri yang lain.

“Enakmen di Kelantan juga mempunyai banyak persamaan dengan Terengganu dan apa sahaja yang berlaku nanti (keputusan Mahkamah Persekutuan) akan memberi kesan kepada negeri-negeri lain khususnya di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Wacana Perundangan Syariah Terengganu di sini hari ini.

Lebih 1,000 peserta terdiri dari penjawat awam, pegawai masjid, pelajar universiti dan badan bukan kerajaan (NGO) hadir ke wacana tersebut yang menampilkan tiga pembentang dalam mengupas icu cabaran terhadap undang-undang syariah yang berlaku di negara ini.

Pembentang yang dijemput ialah Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Datuk Dr. Shamrahayu Abdul Aziz; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pembangunan, Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud serta Peguam Bela dan Peguam Cara iaitu Sallehudin Harun.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, berharap solidariti pada hari ini akan memberikan mesej yang jelas kepada mana-mana pihak yang sentiasa berusaha untuk mengganggu gugat undang-undang islam di negeri Terengganu khususnya dan Malaysia amnya.

“Program ini akan digerakkan ke kawasan-kawasan lain dan kita mempertimbangkan penganjuran acara lebih besar seperti Munajat Perdana yang dilakukan kerajaan negeri Kelantan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN