JOHOR BAHRU: Parti Amanah Negara (Amanah) Johor tidak pernah bersetuju untuk menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa kepada calon parti komponen Pakatan Harapan (PH) lain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Naib Pengerusi Amanah Johor, Dr. Zuhan Zain berkata, pihaknya telah membuat persiapan awal dengan menyusun pergerakan jentera di kawasan berkenaan bagi mengambil semula kerusi DUN tersebut.
“Atas semangat kerjasama politik, kami telah meminjamkan kerusi itu kepada calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) pada PRN Johor lalu.
“Amanah Johor juga maklum laporan media berhubung ketuai DUN Puteri Wangsa. Namun, kami tidak pasti sama ada berlaku salah tafsir, kekeliruan atau penafsiran yang tidak tepat terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh pihak tertentu,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, Amanah Johor memilih untuk menangani sebarang perbezaan pandangan melalui meja rundingan secara dalaman, bukan menerusi platform terbuka yang boleh menjejaskan hubungan parti komponen PH.
“Apa yang lebih penting adalah usaha untuk memperkukuh PH dan menyantuni rakyat. Pada masa ini, seluruh jentera Amanah di Puteri Wangsa terus bergerak aktif di lapangan, mendekati masyarakat melalui pelbagai program tempatan,” katanya.-UTUSAN










