Jaguh Olimpik Australia bimbing skuad bola tampar pantai

Jaguh Olimpik Australia bimbing skuad bola tampar pantai wanita Malaysia

LAUREN Soderberg kini membimbing skuad bola tampar pantai wanita Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad bola tampar pantai wanita negara bakal menerima bimbingan daripada bekas jurulatih Olimpik Australia, Lauren Soderberg, dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan ke tahap yang lebih tinggi.

Kehadiran Soderberg yang pernah berkhidmat sebagai jurulatih pasukan Australia di Sukan Olimpik Rio 2016 serta memiliki pengalaman luas dalam pembangunan atlet elit dunia dilihat sebagai langkah penting dalam mempersiapkan barisan pemain muda negara menghadapi pelbagai kejohanan besar akan datang.

Pengerusi Bola Tampar Pantai Malaysia, Hean Boon Yeow berkata, kepakaran jurulatih antarabangsa itu akan membantu mempercepatkan proses pembangunan, kematangan serta keyakinan pemain muda negara.

Beliau berharap kerjasama tersebut mampu memperkukuhkan persiapan pasukan bagi menghadapi cabaran di Kejohanan Dunia Remaja FIVB Bawah 18 Tahun (B-18), Sukan Asia 2026, dan Sukan Olimpik Remaja Dakar 2026.

“Masa depan bola tampar pantai wanita Malaysia sangat positif. Apa yang penting sekarang adalah mengekalkan momentum ini dan memastikan pembangunan atlet dilakukan secara berterusan supaya kita dapat melahirkan pemain yang mampu bersaing di peringkat dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, mengulas prestasi semasa skuad wanita negara, Boon Yeow menzahirkan rasa bangga selepas pasukan Malaysia berjaya muncul juara dalam kejohanan di Singapura baru-baru ini.

Menurut beliau, kejayaan tersebut membuktikan pemain muda negara memiliki disiplin yang tinggi serta kemampuan untuk mengawal tekanan ketika beraksi di gelanggang.

“Selepas kejohanan di Singapura, saingan di Kejohanan AVC di Taiwan pula akan menjadi platform terbaik untuk mereka menimba pengalaman berdepan lawan yang lebih berkualiti dan berpengalaman.

“Saya berharap mereka pulang dengan lebih banyak ilmu, sentiasa dahagakan kejayaan, dan tidak cepat berpuas hati dengan pencapaian semasa,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan positif yang mula dilihat hari ini adalah hasil daripada program pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan secara konsisten oleh Bola Tampar Pantai Malaysia.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa perjalanan masih jauh dan usaha membangunkan pemain pelapis perlu diteruskan secara berterusan bagi memastikan Malaysia mempunyai barisan atlet yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Persiapan rapi juga amat penting bagi memastikan skuad negara benar-benar bersedia apabila Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

Boon Yeow menegaskan, pihaknya meletakkan sasaran yang tinggi dan tidak mahu pasukan kebangsaan sekadar menjadi  pelengkap jadual.

“Apabila kita bercakap mengenai Sukan SEA 2027, sudah tentu sasaran utama adalah untuk melihat Malaysia kembali menjadi pencabar utama dalam acara bola tampar pantai.

“Sebagai tuan rumah, kita mahu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk mencabar kuasa-kuasa besar Asia Tenggara dan seterusnya membawa pulang pingat untuk negara,” tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN