Tempoh tiga tahun penternak tukar sistem tertutup - Utusan Malaysia

Tempoh tiga tahun penternak tukar sistem tertutup

MOHD Zolkafly Harun (kiri) menunjukkan teks kenyataan media dan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) 2023 dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri memberi tempoh tiga tahun kepada pengusaha ladang ternakan unggas di negeri ini untuk melaksanakan konsep sistem tertutup selaras dengan penguatkuasaan Enakmen Perladangan Unggas (Pindaan) yang diwartakan pada 20 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, sebanyak 295 ladang reban terbuka perlu menukar kepada sistem tertutup sebelum tahun 2026.

“Setakat ini, hanya 203 daripada 507 ladang telah melaksanakan secara tertutup manakala 295 ladang reban terbuka dan sembilan adalah ladang bercampur.

“Selaras dengan pelaksanaan pindaan enakmen itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak telah mengambil langkah turun padang melalui program ‘roadshow’ bagi memberi informasi, penjelasan dan kefahaman kepada pemegang taruh khususnya penternak ayam di negeri ini,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPV, Dr. Ahmad Shafri Hassan.

Menurut Mohd. Zolkafly, kerajaan negeri menyasarkan 30 peratus setiap tahun bagi pengusaha ladang sedia ada dan yang baharu untuk melaksanakan sistem tertutup secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.

“Sasaran tersebut adalah bagi pengusaha sedia ada dan pengusaha baharu tetapi bagi permohonan baharu, ia mesti dibina dengan sistem tertutup,” katanya.

Mohd. Zolkafly berkata, bagi pengusaha ladang ternakan yang tidak berdaftar juga boleh memohon lesen yang sah dalam tempoh pemutihan sehingga tahun 2026.

“Tempoh pemutihan selama tiga tahun ini mencukupi untuk pengusaha-pengusaha ladang ternakan sebelum penguatkuasaan dilaksanakan,” katanya.

Ujarnya, pindaan enakmen itu bertujuan untuk ke arah sistem reban tertutup sepenuhnya menjelang tahun 2026 untuk menangani aduan kacau ganggu lalat dan pencemaran.

Katanya, selain itu, Kebenaran Merancang (KM) dan kelulusan tukar syarat tanah juga adalah tujuan enakmen itu dipinda.

“Denda dan kompaun juga akan dikenakan lebih tinggi setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.

“Sebelum ini, kadar kompaun minimum hanya RM300 tetapi selepas pindaan kadar kompaun minimum adalah sebanyak RM5,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN