Takutkan pengarah, pernah menggigil datang set penggambaran - Nora Danish - Utusan Malaysia

Takutkan pengarah, pernah menggigil datang set penggambaran – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUATU ketika, Nora Danish pernah dijulang sebagai antara pelakon berpotensi dalam industri seni sehingga menyaksikan populariti seakan tidak mahu berganjak, terus melekat pada dirinya.

Masih kekal relevan, Nora juga sehingga kini masih menjadi idola ramai terutama kalangan pendatang baharu yang memandang dirinya sebagai antara artis contoh, cantik, berbakat dan berjaya.

Pun begitu, bagi Nora, semua itu hadir seiring dengan waktu dan kematangan diri apatah lagi sebagai artis, dia percaya tidak mudah untuk berada di kedudukan sekarang sekiranya tidak tahu membawa diri.

Kini bergelar senior dalam kalangan adik-adik pelapis baharu, keadaan itu bagaimanapun tidak membuatkan Nora perlu mendabik dada, berlaku sombong hingga enggan bergaul dengan ‘budak baharu’.

“Tak pernah terfikir pun begitu. Saya malah adalah seorang yang sangat terbuka untuk berlakon atau bekerjasama dengan pelakon muda dan baharu. Ada beberapa kali saya berlakon dengan pelakon baru. Contohnya Meerqeen dalam telefilem Kluster.

“Di mata saya, Meerqeen kalau tak menang pertandingan Hero Remaja pun saya percaya dia boleh naik. Dia seorang yang sangat hormat orang dan boleh bergaul dengan sesiapa pun. Pendek kata pandai bawa diri.

“Saya sendiri pun tak pernah memilih dengan siapa saya nak berlakon asalkan artis baharu itu benar-benar berminat nak berlakon,”katanya.

Tambah Nora, dia sentiasa percaya bahawa seseorang artis itu sama ada baharu atau lama, wajar tahu diri dan menjaga reputasi kerja dengan baik.

“Contohnya jangan datang lambat atau buat perangai. Saya masih ingat lagi bagaimana saya bermula. Ramai yang terlupa bahawa saya mula dengan menjadi model dan pelakon iklan.

“Bakat lakonan saya dikesan oleh sutradara Aziz M Osman. Dulu kalau saya ada buat fiil sikit mesti dia akan panggil. Saya masih ingat pernah kena marah teruk sebab cuti sakit.

“Kebetulan pula ‘shoot’ untuk babak penting dan melibatkan nama-nama besar, memang kena marahlah. Abang Long (Aziz), banyak memberi tunjuk ajar pada saya dalam membawa diri dalam bidang seni ini.

“Kalau kerja dengan dia di set, makan pun dia suruh sama-sama dengan semua orang di set, tak boleh asing-asing. Dia nak kita belajar merendah diri walau artis itu dah popular macam mana sekalipun,”katanya.

Banyak pengarah lebih relaks kini

Berkongsi lanjut, kata pelakon berusia 41 tahun ini, dia perhatikan kebanyakan pengarah kini sudah semakin relaks dan tidak berpewatakan garang atau terlalu serius sebagaimana zaman sebelum ini.

Bagi Nora, itu sesuatu yang baik namun berpesan kepada artis-artis muda supaya jangan mengambil kesempatan dengan situasi itu.

“Saya melalui zaman di mana kebanyakan pengarah garang-garang juga. Tegas dalam bekerja jadi kita tak boleh main-main. Saya ingat lagi punya takut dengan pengarah, sampai nak masuk set pun menggigil.

“Sekarang keadaan dah berbeza. Ramai pengarah dah makin relaks. Tapi tetaplah hormat mereka dan jangan ambil kesempatan,”katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pengalamannya sama ada pernah tidak dilayan oleh pelakon senior di set penggambaran, Nora mengakui perkara tersebut.

Katanya, ia berlaku kerana waktu itu dia sebagai pendatang baharu dianggap sombong sedangkan dia bukanlah individu seperti yang disangka.

“Ada pelakon senior seorang ini tak menerima saya dengan baik masa awal-awal masuk industri seni. Jujurnya saya bukan seorang yang sombong, saya segan dan takut tersalah bual sebab sangat-sangat menghormati dia sebagai pelakon hebat.

“Jadi saya sangat faham jika ada budak-budak baharu yang melalui situasi macam ini. Disangka sombong walhal kita ini segan dan rasa diri kerdil.

“Sewajarnya seorang pelakon senior kenalah bersikap lebih terbuka dan ajar budak-budak baharu ini. Jangan ketepikan mereka,”katanya.

Dalam pada itu, Nora yang bakal muncul dengan filem baharu berjudul Sayu Yang Syukur ( SYS) mengakui kagum dengan gaya pengarahan Datuk Aaron Aziz.

Katanya, filem tersebut telah menjalani penggambaran sekitar tahun 2015 dan tidak menyangka setelah sembilan tahun akhirnya ia bakal menemui penonton pada 28 Disember ini.

“Saya tak pernah berlakon dengan Aaron dalam mana-mana naskhah sebelum ini dan kali ini dapat peluang itu. Jujurnya saya nak sangat berlakon dengan Aaron sebab kalau cerita-cerita romantis ini, ramai setuju yang dia adalah antara pelakon hebat dan diminati ramai.

“Saya pun suka Aaron menerusi filem Ombak Rindu ketika dia membawakan watak Harris. Tetapi apa yang paling saya suka ialah nashah SYS ini yang tak terlalu tipikal cinta.

“Bagi saya ia sebuah naskhah yang bagus dan wajar dipertontonkan kepada peminat filem tanah air,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN