KUALA LUMPUR: Syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL gagal dalam permohonannya untuk mendapatkan penghakiman terus terhadap Datin Seri Rosmah Mansor.
Sebaliknya, pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian itu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Ong Chee Kwan membenarkan permohonan Rosmah agar syarikat terbabit meletakkan kos jaminan sebanyak RM75,000 berbanding AS$1 juta (RM4.59 juta) yang dimohon sebelum ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam, Rajivan Nambiar ketika dihubungi media selepas tamat prosiding tersebut yang turut memaklumkan kes itu akan melalui perbicaraan penuh rentetan daripada keputusan mahkamah hari ini.
Tambahnya, Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati kes saman Global Royalty itu bukanlah satu kes yang sesuai dan wajar diputuskan melalui penghakiman terus kerana terdapat beberapa isu yang perlu dibicarakan (triable issues).
Berhubung kos jaminan pula, Rajivan memaklumkan kos tersebut perlu diserahkan kepada mahkamah dalam tempoh sebulan bermula hari ini dan syarikat itu juga diberikan kebebasan untuk mengubah jumlah berkenaan sebelum perbicaraan iaiti apabila pertukaran dokumen perbicaraan dilakukan atau apabila pakar (sekiranya ada) dipanggil memberi keterangan.
Selain itu, permohonan Rosmah untuk prosiding pihak ketiga terhadap polis dan kerajaan Malaysia (untuk membawa mereka sebagai pihak dalam saman ini) ditetapkan pada 14 Disember ini untuk pengurusan kes.
Pada prosiding hari ini, selain Rajivan, Rosmah turut diwakili peguam Mohd. Reza Rahim manakala Global Royalty diwakili peguam-peguam, Datuk David Gurupatham dan Venothani Rajagopal.
Penghakiman terus itu dimohon oleh Global Royalty berhubung saman syarikat terbabit terhadap Rosmah yang didakwa gagal 43 barang kemas bernilai RM67.5 juta antaranya membabitkan rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara.
Penghakiman terus melibatkan prosedur tuntutan saman diputuskan oleh mahkamah tanpa melalui perbicaraan apabila isu berhubung fakta dalam kes terlibat atau undang-undang, tidak dipertikaikan.
Kos jaminan pula dimohon Rosmah atas alasan syarikat tersebut berpangkalan di luar negara dan akan menghadapi kesukaran menguatkuasakan perintah kos sekiranya kes itu berpihak kepadanya kelak.
Pada 29 Mac lalu, Global Royalty menyaman Rosmah buat kali kedua dengan menuntut perintah mandatori supaya barang-barang kemas berkenaan dikembalikan atau dipulangkan dalam keadaan munasabah dan baik dalam tempoh 14 hari daripada tarikh penghakiman.
Global Royalty dalam afidavitnya mendakwa wanita itu berbohong dengan menyatakan 44 unit barangan kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh seorang ejen syarikat itu kepadanya dirampas oleh pihak berkuasa Malaysia untuk kesalahan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Menurut syarikat yang berpangkalan di Beirut itu, ini kerana hanya satu daripada 44 barang kemas berkenaan berada dalam simpanan dan kawalan polis manakala baki 43 barang kemas milik plaintif tidak berada dalam simpanan pihak berkuasa itu.
Plaintif mendakwa defendan (Rosmah) memperdayakannya dengan mengalihkan beban kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya sudah hilang.
Pada tahun 2019, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah untuk menuntut barang kemas bernilai AS$14.79 juta atau hampir RM60 juta tetapi menarik balik saman berkenaan.
Dalam saman asalnya, syarikat itu mendakwa pada 10 Februari 2018, ia menghantar barang kemas termasuk rantai berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara kepada Rosmah yang diserahkan sendiri melalui dua ejennya.-UTUSAN