Subsidi bersasar: RON95 bakal bermula separuh kedua 2024

Subsidi bersasar: RON95 bakal bermula separuh kedua 2024

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program subsidi bersasar bagi RON95 akan dimulakan oleh kerajaan pada separuh kedua tahun hadapan susulan penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu) pada Januari 2024.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, Padu bakal memberikan kerajaan akses kepada data granular yang diperlukan untuk melaksanakan program bersasar seperti rasionalisasi subsidi mahupun reformasi kebajikan sosial.

Kata beliau, ketika ini kumpulan T20 sudah menikmati sebanyak 53 peratus daripada subsidi bahan api secara pukal dan ia merupakan model yang dilihat tidak mampan serta tidak saksama.

“Justeru, kerajaan akan melancarkan program subsidi (bersasar) RON95 pada 2024,” katanya pada Persidangan Tinjauan Ekonomi Negara (NEOC) anjuran Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) di Kuala Lumpur, semalam.

Mengulas lanjut, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu berkata, bagi memastikan pelaksanaan program subsidi bersasar dapat dijalankan dengan lancar, kerajaan perlu mengambil masa untuk memastikan kejayaan ia.

Beliau berkata, kerajaan sedar bahawa sebaik sahaja ia dilaksanakan akan ada ketidakpuasan dan masalah namun kerajaan tidak mampu berpatah balik daripada perkara yang sudah pun dilaksanakan atau membuat pusingan ‘U’.

“Setahun lalu saya bercakap mengenai perkara ini. Saya tahu penganalisis di luar sana bertanya kenapa mengambil masa lama (melaksanakannya). (Ia) sebab kita melihat ia dilaksanakan di negara lain. Urutan penting dengan memastikan semua perkara sedia dan cuba rapatkan lohong sebaik mungkin.

“Kita tidak mampu kepada pusingan ‘U’ apabila ia dilaksanakan. Kita mengambil setahun untuk menyediakan asas dan saya tidak kisah,” katanya.

Tambahya, sekiranya sekiranya pertumbuhan ekonomi seperti dijangkakan, pelaksanaannya akan mmberi manfaat lebih baik kepada negara daripada segi pelaburan dan juga tinjauan pada tahun 2024. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN