KUALA LUMPUR: Sekretariat Tangkap Azam Baki bakal menganjurkan satu lagi himpunan di Dataran Merdeka bagi mendesak siasatan lebih menyeluruh dan telus berhubung isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Himpunan pada pada 25 April depan itu juga bertujuan menuntut penjelasan terhadap dakwaan kewujudan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan negara yang disifatkan semakin membimbangkan.
Timbalan Pengerusi Bersih, Kelvin Lee See Kiang berkata, tindakan turun ke jalan raya dibuat susulan kegagalan pihak berkuasa memberikan penjelasan yang jelas dan tuntas berhubung kedua-dua isu berkenaan.
“Ini bukan sekadar himpunan biasa, tetapi satu usaha berterusan untuk memastikan akauntabiliti ditegakkan. Kami mahu jawapan yang jelas dan tindakan konkrit diambil.
“Pendedahan demi pendedahan yang dibuat setakat ini masih belum disusuli tindakan tegas, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap ketelusan institusi penguatkuasaan.
“Selagi tiada penyelesaian yang meyakinkan, kami akan terus bersuara. Rakyat berhak menuntut kebenaran dan keadilan,” katanya dalam sidang media hari ini.
Tambah Kelvin, jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan bagi meneliti isu berkenaan seolah-olah cuba melengah-lengahkan perhatian rakyat, memandangkan tiada perkembangan diumumkan walaupun telah melebihi tempoh sebulan.
Malah sekretariat itu turut mempersoalkan peranan agensi seperti SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa terpalit dengan isu salah laku serta kemungkinan dipengaruhi pihak berkepentingan.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menyertai himpunan berkenaan sebagai tanda solidariti dalam menuntut ketelusan dan reformasi institusi.
“Himpunan tersebut digerakkan dengan tiga tuntutan utama iaitu penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan mafia korporat dalam agensi penguatkuasaan, tindakan terhadap Azam Baki serta reformasi menyeluruh SPRM.
“Kami juga menuntut jaminan kebebasan bersuara kepada masyarakat sivil, aktivis dan rakyat,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, sekretariat memaklumkan akan mengadakan siri jelajah ke beberapa negeri dalam masa terdekat bagi menggerakkan sokongan menjelang himpunan tersebut.
Lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO), gerakan mahasiswa dan parti politik dilaporkan menyatakan sokongan terhadap inisiatif berkenaan. – UTUSAN










