SPRM kesan aset Aman Palestin

SPRM kesan aset milik Aman Palestin

Siasatan mendapati derma untuk penduduk Palestin diguna untuk tujuan lain termasuk membeli emas dan bangunan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan awal Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM) mendapati dana awam RM70 juta yang disyaki diseleweng pertubuhan Aman Palestin telah digunakan untuk pembe­lian emas melalui sebuah syarikat.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, sumbangan yang peroleh pertubuhan tersebut juga telah disyaki digunakan bagi pembelian tanah atas nama syarikat yang dikenal pasti SPRM.

“Dana hasil sumbangan orang awam itu juga dikesan SPRM telah digunakan bagi suntikan modal pelaburan secara terus kepada syarikat itu dan beberapa lagi syarikat lain.
“Syarikat-syarikat ini yang masih dalam semakan SPRM,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, kata sumber, SPRM juga dalam proses mengenal pasti aset-aset pertubuhan Aman Palestin dipercayai dipe­roleh hasil penyelewengan dana orang awam itu.

Ujar sumber itu, kesemua aset berkenaan dalam tindakan untuk sitaan.

“Setakat ini, SPRM masih belum ambil keterangan ketua pegawai eksekutif pertubuhan berkenaan.

“Sebanyak 11 saksi telah di­rakam keterangan oleh SPRM,” ujarnya.

Sumber berkata, sembilan daripada 41 akaun bernilai lebih RM15.86 juta yang dibekukan adalah akaun yang didaftarkan di atas nama Aman Palestin Berhad.

“Dua akaun lagi milik sebuah syarikat dan selebihnya merupakan akaun melibatkan tujuh individu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan perkara itu namun enggan mengulas lanjut memandangkan siasatan masih berjalan.

Semalam, SPRM mengesahkan membekukan sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.00 sehingga semalam.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan terhadap dakwaan Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan penggeledahan­ turut dilakukan di premis Aman Palestin serta memperoleh dokumen-dokumen berkaitan kewa­ngan dan pengurusan operasi bagi tempoh lima tahun terdahulu.

SPRM juga telah merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting bagi siasatan lanjut.

Hasil siasatan awal mengenal pasti beberapa isu melibatkan penyelewengan dana dianggarkan berjumlah RM70 juta yang disalurkan bagi tujuan selain daripada objektif penubuhan syarikat berkenaan.

Siasatan berkenaan dijalankan bagi mendapatkan keterangan berhubung kesalahan-kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil

Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) selain siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan (Akta 574).

Azam sebelum ini mengesahkan, SPRM sedang mendapatkan beberapa dokumen daripada pihak Aman Palestin Bhd. berhubung siasatan pengumpulan derma oleh peftubuhan bukan kerajaan tersebut (NGO) untuk rakyat Palestin.

Kata beliau, setakat ini me­numpukan kepada dokumen-dokumen yang boleh membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa membabitkan pe­ngumpulan derma itu. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN