KUALA LUMPUR: Biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menegaskan pendiriannya adalah tidak selari dengan kenyataan syarikat rakaman antarabangsa, Universal Music Group (UMG) yang pro-Israel.
Penyanyi bersuara emas itu juag memaklumkan, dia juga bukan artis di bawah naungan wakil syarikat UMG, Universal Music Malaysia dan hanya berkerjasama bagi tujuan pengedaran album serta lagu sahaja.
“Saya baru dimaklumkan tentang perkara ini. Kenyataan itu sangat mengejutkan. Mereka (UMG) sebuah label antarabangsa. Tetapi saya percaya pendirian Universal Malaysia tidak sama.
“Apa yang disuarakan UMG itu tidak sama langsung dengan pendirian saya. Saya tetap menyokong Palestin.
“Universal Music Malaysia bekerjasama dengan saya hanya sebagai pengedar. Saya bukan di bawah wakil syarikat tersebut,” katanya.
Penyanyi Jerat Percintaan itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan UMG yang tular di media sosial semalam walaupun hantaran tersebut sudah dimuat naik sejak awal Oktober lalu.
Dalam kenyataan tersebut, UMG menyifatkan perjuangan Hamas sebagai ‘barbarik dan menyumbang kepada peningkatan anti-semitism dan ketaksuban lain yang mungkin akan muncul.
Kenyataan tersebut mendapat pelbagai respons secara global apabila ramai warganet dan artis bawah naungan label tersebut mengecam kenyataan yang tidak wajar tersebut.
Dalam pada itu, bercakap soal perancangan konsert meganya, Siti Nurhaliza mengambiul keputusan untuk menangguhkan sementara konsert yang sepatutnya berlangsung Mac depan.
Namun penyanyi Cindai itu bakal mengadakan sebuah majlis yang bertujuan untuk mengutip dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang ketika ini ditindas rejim Zionis.
“Hidup perlu diteruskan. Tetapi kalau kita buat aktiviti menyeronokkan lebih baik usah terlalu berkongsi di media sosial. Kita perlu menunjukkan solidairiti kita terhadap Palestin.
“Sekarang ini kalau ada undangan menyanyi pun saya akan cuba selitkan dengan lagu-lagu ketuhanan,” jelasnya.