KETIKA Amanda Nell Eu, kecewa kerana filem arahannya Tiger Stripes telah dicantas-cantas oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF), kita semua tahu bahawa itu bukan kali pertama keluh kekecewaan sebegitu hadir dalam kalangan pengkarya tanah air.
Lebih aneh, tiada sesiapa yang dapat mengubah situasi itu walaupun rasa terkilan berkenaan dizahirkan oleh Amanda, satu-satunya pengarah Malaysia yang pernah merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes, Mei lalu.
Amanda barangkali terluka apabila naskhah Tiger Stripes, filem yang dipilih mewakili Malaysia untuk kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Academy Awards Ke-96 tahun hadapan diperlakukan di panggung sedemikian rupa.
Perkara ini sudah lama disuarakan lebih dua dekad lalu bahkan sejak zaman filem KL Menjerit arahan Bade Azmi pada tahun 2002 lagi.
Namun, untuk memastikan artikel ini relevan mari kami bawakan contoh terkini seperti perkataan ‘anjing laut’ di dalam filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang arahan Arie Zahari yang terpaksa dipadam sehingga menghilangkan aura aksi ganas dalam naskah itu.
Begitu juga filem Harum Malam arahan Dain Said menyaksikan 14 babak dikaburkan sementara beberapa dialog disenyapkan sehingga membunuh mood untuk menonton naskhah itu.
Filem Dukun yang pernah lulus bersih pada tahun 2006 tiba-tiba diminta untuk dibuang lima aksi sekiranya mahu ditayangkan pada tahun 2018.
Manakala Split Gravy hampir tidak memenangi Anugerah Filem Terbaik FFM 32 sekiranya tidak sabar menghadapi kerenah LPF selama bertahun-tahun.
ADAKAH LPF JUMUD?
Lembaga Penapisan Filem di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempunyai mandat penuh untuk meluluskan sebarang jenis rakaman video atau filem bagi tujuan tayangan di Malaysia.
Ia bertujuan bagi menjaga keharmonian dan memastikan tiada keganasan, seks, kritikan keterlaluan kepada pemerintah dan isu agama yang boleh dianggap kontroversi.
Namun begitu, mari kita menjadi sedikit lebih kritis terhadap proses penapisan yang berdiri di antara garis samar menjaga sensitiviti umum dengan ‘terlalu menjaga’ sehingga menjadi jumud dan membunuh semangat pengkarya.
Banyak yang boleh dipersoalkan seperti adakah mereka yang duduk di kerusi penapisan benar-benar mempunyai kelayakan? Begitu juga proses ‘penapisan berganda’ yang menjadi amalan LPF di mana proses pemotongan babak masih berlaku walaupun klasifikasi had umur sudah diberikan.
Menurut pelakon, Shah Kimin, 34, setiap pengarah sudah mempunyai hujah dan alasan mengapa memilih jalan cerita dan pelakon dalam sesuatu naskhah. Jika karyanya dicantas, mesej yang ingin disampaikan pengarah akan terbantut seperti yang berlaku kepada Tiger Stripes.
“Bagi saya, apa salahnya jika kita beri peluang untuk tayang filem secara penuh tanpa potongan pada minggu pertama untuk lihat reaksi penonton. Jika mereka kurang senang, minggu kedua kita tayang pula yang sudah dipotong.
“Kita juga boleh letakkan peringatan atau amaran bahawa beberapa babak dalam filem ini mungkin mendatangkan rasa kurang senang. Jadi penonton kita tidak akan melantun,” katanya.
PENONTON SUDAH MATANG
Ketika tapisan filem terlalu rigid khususnya kepada naskhah yang berunsur satira, ia seolah-olah memberi gambaran bahawa masyarakat kita hari ini belum cukup matang sehingga boleh tercetusnya hura-hara melalui sebuah filem.
Bagi calon Pelakon Harapan Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27, Anas Ridzuan, 34, penonton filem tidak akan hadir ke panggung semata-mata mahu mencari salah atau sengaja membuat provokasi.
“Negara luar sudah pun menyentuh isu yang sangat sensitif menerusi filem mereka. Jeling sahajalah Indonesia, banyak sudah pencapaian mereka dan kita seperti ketinggalan jauh.
“Kita mahu kejar ke Oscar, tapi isu penapisan begini pun tidak selesai dan menyebabkan karya kita jauh ke belakang.
“Penonton kita sudah matang dan mereka tahu untuk menilai sesuatu karya khususnya yang mengkritik atau menyindir perkara tertentu. Dari situ kita melihat moral dalam filem tersebut,” jelasnya.
Oleh itu, wajar untuk LPF menimbang semula prosedur juga ahli yang benar-benar berkelayakan bagi menganalisa sesuatu naskhah.
Perkara ini penting agar pengkarya berbakat besar seperti Amanda dan generasi seterusnya tidak menganggap kewujudan badan penapisan hanyalah sebagai sebuah pisau yang akan menyembelih karya dan semangat mereka hidup-hidup di depan mata.