Sidang DUN: Sistem kuota benih padi tidak efisien

Sidang DUN: Sistem kuota benih padi tidak efisien

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sistem kuota perbekalan benih padi sedia ada yang tidak efisien dipercayai menjadi punca kepada permasalahan yang melingkari industri padi negara termasuk kehilangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran serta kenaikan harga makanan ruji itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri, Dzowahir Ab. Ghani berkata, hanya empat pengilang dibenarkan untuk membekalkan benih padi di Kedah dan Perlis dengan salah satunya Syarikat Perniagaan Peladang MADA Sdn. Bhd. (MADACorp).

“Cuma MADACorp sahaja syarikat milik kerajaan (GLC) dan tiga yang lain adalah pengilang swasta. Begitulah senario sekarang dan GLC itu pula mendapat kuota paling sedikit bagi membekalkan benih padi kepada petani.

“Sedangkan MADACorp itu dulu yang namanya adalah Syarikat Perniagaan Peladang MADA (SPPM) membawa maksud ia dimiliki petani dan pesawah. Mana mungkin sebuah GLC kerajaan yang mewakili petani dan pesawah diberikan kuota paling sikit.

“Bayangkan puluhan ribu pesawah di Kedah, Perlis dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang kena cari benih dari empat pengilang ini saja. Jadi bagaimana sistem ini boleh membantu menyelesaikan masalah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Khairul Anuar Ramli (PN-Lunas) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Dzowahir (PN-Suka Menanti) berkata, keadaan itu menyebabkan para petani berterusan hidup dalam keadaan susah sejak merdeka walaupun mereka bukanlah terdiri daripada golongan yang malas.

“Ini antara perkara yang perlu disemak dan dikaji semula oleh pihak berkaitan. Di pihak kerajaan negeri, kita sudah menyatakan hal ini kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam Mesyuarat Exco-Exco Pertanian dengan menteri sebelum ini.

“Kita minta supaya sistem kuota ini dibuka seluasnya dan kuota kepada GLC ditambah mengikut kadar sepatutnya. Jika perkara ini tidak diubah dan sistem sedia ada dikekalkan, amat sukar untuk kita membendung apa saja masalah yang berlaku selama ini,” katanya.

Tambahnya, Kedah tidak hanya berhasrat untuk menjadi pengeluar benih padi utama seperti dinyatakan semalam, tetapi perbincangan juga telah dijalankan dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) untuk mewujudkan kilang serta menghasilkan beras sendiri.

“Selain itu kita juga mengenal pasti bahawa antara punca yang membawa kepada masalah industri padi baru-baru ini adalah disebabkan kita tidak memiliki stok penimbal sendiri.

“Sewaktu zaman Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN), kita memang ada stok penimbal tetapi sekarang tak ada. Maka kita berhasrat untuk mewujudkan stok itu yang setidak-tidaknya mampu disalurkan kepada seluruh rakyat Kedah sekiranya berlaku sesuatu pada masa depan,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya