PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berisiko berdepan kesukaran untuk menghimpunkan barisan pemain sama ketika berdepan Vietnam, Mei lalu menjelang saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025 pada Ogos dan September ini.
Ia berikutan aksi pertama Kumpulan B menentang pasukan ranking 104 dunia, Tajikistan pada 29 Ogos ini berada di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebelum jendela perlawanan antarabangsa akan dibuka bermula 1 hingga 9 September.
Selain itu, kebimbangan jika kelab enggan melepaskan pemain lebih awal menyertai skuad kebangsaan walaupun Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sudah menyatakan komitmen untuk menghentikan aksi liga untuk memberi ruang kepada skuad negara menyertai kejohanan itu.
Berikutan itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berharap perbincangan antara pengurusan pasukan kebangsaan bersama kelab dapat dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik demi skuad negara.
“Saya harap pengurusan skuad kebangsaan seperti CEO (Rob Friend) atau Peter (Cklamovski) dapat mengadakan perbincangan dan mencari penyelesaian terbaik bagi menghadapi situasi ini.
“Semua maklum bahawa perlawanan pertama itu bukan dalam kalendar FIFA. Sebelum ini, jika (perlawanan) berlaku di luar kalendar FIFA, memang kebanyakan pasukan tak akan lepaskan pemain.
“Ini adalah perkara biasa tetapi dalam keadaan sekarang (fasa revolusi) saya tidak pasti kerana mungkin mereka ada jalan penyelesaian terbaik untuk menghadapi situasi ini,” katanya.
Selepas Tajikistan, skuad Harimau Malaya dijadual berdepan pasukan ranking ke-18 dunia dan kedua Asia, Iran pada 1 September ini sebelum menutup aksi peringkat kumpulan menentang Afghanistan (160) pada 4 September. – UTUSAN










