Suku ketiga: Malaysia positif dalam pelaburan domestik

Suku ketiga: Malaysia positif dalam pelaburan domestik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia dilihat berada dalam kedudukan yang ‘positif’ sebagai ruang perlindungan pelaburan domestik pada suku ketiga, meskipun berdepan beberapa sekatan tarif, menurut Malacca Securities Sdn Bhd.

Syarikat pembrokeran berkata, pengukuhan ringgit ketika ini dijangka memberi manfaat besar kepada sektor berorientasikan domestik, terutamanya dalam konteks peningkatan pelaburan infrastruktur dan transformasi digital negara.

Katanya, selepas tempoh jualan besar-besaran pada suku pertama 2025, sektor pusat data dilihat kembali stabil hasil pelaburan berterusan daripada pemain global seperti Google, Microsoft dan Nvidia. 

“Dengan pertumbuhan pusat data di rantau ini, kami menjangkakan permintaan tenaga akan menyaksikan lonjakan, sekali gus menyediakan pelaburan yang besar dalam sektor kuasa.

“Projek-projek berkaitan dijangka terus mengalir ke sektor utiliti sokongan dan penyedia infrastruktur tenaga, termasuk permintaan kabel yang semakin meningkat,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam konteks ini, Malacca Securities menyatakan minat terhadap sektor pembinaan, bahan binaan, utiliti dan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang dijangka meraih manfaat daripada gelombang pelaburan tersebut.

Firma berkata, ledakan pusat data juga menuntut keperluan perkhidmatan keselamatan siber dan pengkomputeran awan, selari dengan dorongan negara ke arah transformasi digital. 

Katanya, perkembangan teknologi seperti internet segala-galanya (IoT), penyelesaian bandar pintar serta penerapan 5G dan kecerdasan buatan (AI) turut dijangka memperkukuh peranan sektor teknologi sebagai tonggak utama.

“Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) juga dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan mapan melalui sokongan dasar terhadap tenaga hijau, pembuatan berteknologi tinggi dan automasi.

“Kerajaan menetapkan sasaran untuk meningkatkan penjanaan RE daripada 40 peratus kepada 70 peratus menjelang 2050, yang membuka peluang pelaburan ketara dalam sektor utiliti, khususnya gas asli dan RE,” ujarnya.

Dalam pada itu, Malacca Securities berkata, kerjasama Malaysia bersama ARM Holdings dalam pembangunan semikonduktor dan teknologi AI dilihat memperkukuh kedudukan negara sebagai pusat pembuatan teknologi bernilai tinggi. 

Tambahnya, inisiatif seperti Sidang Kemuncak KL20 dan Strategi Semikonduktor Negara dijangka menarik pelaburan asing dan merangsang pertumbuhan pemain tempatan dalam reka bentuk cip canggih.

Mengulas pelaburan berasaskan kestabilan pasaran, Malacca Securities menekankan minat terhadap syarikat-syarikat yang memiliki kedudukan tunai bersih yang kukuh dan rekod pembayaran dividen konsisten.

“Sektor seperti utiliti, telekomunikasi, amanah pelaburan hartanah (REIT) dan pengguna dilihat sebagai pilihan defensif dan berpotensi menawarkan pulangan menarik dalam persekitaran pasaran yang tidak menentu,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×