Sidang DUN P. Pinang: Pusat diharap lulus segera dana projek air - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: Pusat diharap lulus segera dana projek air

CHOW Kon Yeow pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan Pusat diharapkan dapat memberi keutamaan dengan meluluskan peruntukan supaya Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) dapat dimulakan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedua-dua negeri iaitu Perak dan Pulau Pinang amat memandang serius supaya pembinaan infrastruktur projek itu dapat dimulakan dengan segera.

“Harapan kedua-dua negeri sudah semestinya untuk memastikan pelaksanaan projek ini dapat dimulakan dengan kadar segera.

”Kerajaan Pusat perlu memberi keutamaan dalam meluluskan peruntukan supaya projek ini dapat dimulakan dengan segera demi kepentingan kedua-dua negeri.

”Ia bagi memastikan manfaat dalam penyelesaian jangka masa panjang untuk memenuhi permintaan air sehingga tahun 2050 tercapai, termasuk di bahagian utara negeri Perak,” katanya dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini

Menurut Kon Yeow (DAP-Padang Kota), projek tersebut memerlukan pembinaan infrastruktur yang sangat kompleks di mana melibatkan pembinaan terowong penyaluran air mentah, kerja-kerja pembinaan rangkaian paip air mentah dan pembinaan loji rawatan air yang baharu.

”Pembinaan ini memerlukan penyiapan kemudahan infrastruktur di sebelah negeri Perak terlebih dahulu bagi membolehkan penyaluran air terawat dapat disalurkan ke Pulau Pinang.

“Pulau Pinang seterusnya akan menyediakan kolam takungan untuk simpanan air dan sistem perpaipan retikulasi bekalan air untuk dibekalkan terus kepada pengguna yang terlibat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, tempoh pembinaan tersebut akan mengambil masa yang panjang dan tertakluk kepada peruntukan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) juga sentiasa meneroka untuk melihat sumber-sumber baharu yang berpotensi untuk dijadikan sumber bekalan air bagi Pulau Pinang.

”Ia termasuk menggunakan air laut (desalination) dan kitar semula air sisa untuk kegunaan bukan domestik.

“Bagaimanapun, kajian kebolehlaksanaan perlu dilaksanakan terlebih dahulu bagi mengenal pasti keperluan-keperluan teknikal dari segi kualiti dan kuantiti sumber serta kos rawatan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya