Sharnaaz Ahmad dilepas bebas kes cedera pengawal kesemalatan

Sharnaaz Ahmad dilepas bebas kes cedera pengawal keselamatan

sharnaaz ahmad
SHARNAAZ Ahmad Bazir Ahmad (dua dari kanan) diapit para peguamnya di luar Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas keputusan representasinya ditangguhkan. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad tidak perlu dibicarakan atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium selepas Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memutuskan demikian selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak berhubung representasi yang dihantar selebriti itu.
“Setelah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah memerintahkan supaya Orang Kena Saman (OKS) (Sharnaaz) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu manakala wang jaminan dikembalikan,” katanya.

Terdahulu peguam Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili Sharnaaz memaklumkan bahawa pihaknya telah menerima jawapan melalui surat balasan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC)  berhubung representasi yang mana pihak pendakwaan ingin menarik balik kes.
Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal kemudian mengesahkan pihak pendakwaan mendapat arahan daripada pihak atasan supaya Sharnaaz hanya dilepas tanpa dibebaskan.

Mendengar perkara itu, Wan Azmir bertegas memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan memandangkan pihak pengadu sendiri telah menarik balik kes.
“Pengadu telah membuat laporan polis menarik balik kes, saya pohon satu keputusan lepas dan bebas diberikan kepada Sharnaaz,” kat peguam itu.

Mengikut pertuduhan Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022.
Berikutan itu pendakwaan terhadap pelakon  “Suamiku Encik Sotong” itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu Sharnaaz ketika ditemui selepas prosiding kes itu melahirkan rasa syukur dan gembira dengan keputusan hari ini.
“Alhamdulilah, walaupun mengambil masa panjang sedikit tetapi saya bersyukur, lega dan akhirnya saya seorang yang bebas.

“Walaupun ia soal remeh tapi ia melibatkan soal reputasi dan perjalanan karier saya,”kata pelakon itu.
Tahun lalu media melaporkan, seorang pelakon lelaki berusia 30-an direman selepas disyaki menumbuk dan menendang seorang penghuni kondominium di Segambut, di sini pada Jun tahun lalu.

Pelakon yang mendiami kondominium sama dilaporkan menumbuk dan menendang mangsa selepas rakan mangsa yang hendak menghantar minyak masak dilarang memasuki kawasan kondominium berkenaan oleh pengawal keselamatan di situ.
Kejadian dipercayai berlaku selepas berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan pengawal keselamatan sebelum pelakon terbabit datang secara tiba-tiba dan memukul mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya