BEIRUT: Tentera Lubnan dijangka melaksanakan pelucutan senjata sepenuhnya terhadap kumpulan Hezbollah di kawasan berhampiran sempadan Israel dalam tempoh tiga bulan, kata Menteri Luar, Youssef Raggi semalam.
Menurut Raggi, Panglima Tentera, Jeneral Rodolphe Haykal sudah membentangkan pelan lima peringkat kepada kerajaan bagi memastikan semua senjata berada di bawah kawalan negara.
Fasa pertama dijangka mengambil masa tiga bulan, iaitu sehingga akhir November, dengan memberi tumpuan kepada penyingkiran senjata di selatan Sungai Litani, kira-kira 30 kilometer dari sempadan Israel.
“Tiada lagi gudang, senjata, pemindahan senjata, pejuang atau sebarang pertunjukan kekuatan di kawasan berkenaan,” jelas Raggi mengenai perincian pelan tersebut.
Beliau berkata, secara selari, tentera juga akan melaksanakan langkah keselamatan di seluruh negara termasuk menambah sekatan jalan raya dan mengawal pergerakan senjata.
Namun, katanya, tentera tidak akan menjalankan operasi serbuan, penahanan individu atau merampas senjata dari gudang, sebaliknya hanya melarang pemindahan senjata dari satu kawasan ke kawasan lain.
Empat fasa seterusnya akan melibatkan pelucutan senjata di wilayah lain termasuk Beirut dan Lembah Bekaa, tetapi tanpa jadual masa ditetapkan.
Hezbollah ketika ini dilihat semakin lemah selepas berdepan konflik setahun dengan Israel, termasuk dua bulan peperangan terbuka yang memusnahkan sebahagian besar arsenal serta mengorbankan barisan kepimpinan kumpulan itu.
Kerajaan Lubnan menyifatkan usaha pelucutan senjata ini sebagai sebahagian daripada pelaksanaan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai pada November tahun lalu.
Perjanjian tersebut turut menuntut pengunduran tentera Israel dari Lubnan dan penghentian serangan ke atas negara itu, namun Israel berulang kali melancarkan pengeboman dan mengekalkan tenteranya di lima lokasi sempadan yang dianggap strategik. -AGENSI










