SHANTI Pereira mula mencuri tumpuan sejak dia meraih pingat emas acara 200 meter (m) wanita dalam Sukan SEA 2015 di Singapura, malah meneruskan kecemerlangan dengan meraih emas pada Temasya Vietnam 2021 (200m), diikuti Kemboja 2023 (100, 200m).
Begitupun nama gadis berketinggian 1.64m itu semakin melonjak apabila melakar sensasi memenangi emas berganda 100 dan 200m pada Kejohanan Asia di Bangkok, Julai.
Dia kemudian meneruskan kegemilangan dengan meraih emas 200m dalam Sukan Asia di Hangzhou, diikuti perak acara 100m.
Bagi seorang gadis yang berasal dari Asia Tenggara iaitu Singapura, berjaya menguasai acara trek di pentas Asia dianggap satu pencapaian amat besar.
Begitupun untuk mencapai semua itu tidak mudah. Gagal mendapat biasiswa antara pengalaman pahit yang dilalui pelari berusia 27 tahun itu sebelum berjaya mengejar impiannya.
Malah, bermula 2018 sehingga awal 2022 dia berdepan pelbagai dugaan besar hanya untuk berada di tempatnya sekarang.
“Saya memerlukan masa yang sangat lama untuk keluar dari musim suram kerana gagal menunjukkan prestasi baik selain berdepan pelbagai cabaran. Kekalahan juga mengajar saya untuk bangkit semula.
“Saya sedar, bukan saya sahaja yang mengalami masa-masa tidak baik, tetapi kita semua. Memang memilukan tetapi ia juga berlaku kepada orang lain dan tiada apa yang boleh kita lakukan tentang apa yang sudah berlaku,” kata Shanti.
Menurut Shanti, dia berusaha gigih untuk bangkit semula daripada kemerosotan yang dialami pada 2018 dan peranan jurulatihnya sangat besar sehingga dia menganggap Luis Cunha seperti ayahnya sendiri.
Selain itu katanya, usahanya untuk bangkit sebelum ini juga terencat dengan kecederaan (otot paha tahap dua) yang menyebabkan dia tidak boleh turun ke gelanggang untuk berlatih selama sebulan.
“Saya adalah penerima Biasiswa Kecemerlangan Sukan sejak 2016 tetapi matlamat saya untuk biasiswa itu adalah untuk muncul sebagai pemenang pingat di Sukan Asia 2018, namun saya gagal sehingga biasiswa dibatalkan,” katanya.
Pada masa itu, Shanti merupakan pelajar tahun dua dalam bidang perakaunan di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan dia juga merupakan penerima Biasiswa Yip Pin Xiu daripada Singapore Management University (SMU)
“Saya mempunyai GPA minimum untuk dicapai tetapi saya gagal mencapainya, lantas saya kehilangan kedua-dua biasiswa itu. Ia berlaku dalam masa seminggu dan merupakan antara perkara paling sukar yang perlu saya lalui,” kata Shanti.
Berkongsi lebih lanjut, Shanti berkata, selepas keputusan muktamad mengenai biasiswa disampaikan kepadanya melalui satu pertemuan bersemuka, dia tidak boleh buat apa-apa kecuali meninggalkan sahaja bilik untuk menyembunyikan rasa sedihnya.
“Saya terus ke kereta saya dan menitiskan air mata,” kata Shanti yang ketika itu menganggap dia berdepan krisis identiti kerana tidak berjaya dalam sukan selain tidak berminat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang perakaunan.
Namun demikian, Shanti akhirnya dapat mengatasi kemerosotan pada dirinya itu dan mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang sukan sehingga dijulang sebagai wirawati di Singapura ketika ini. – AGENSI/UTUSAN










