Serangan ulat bulu hitam boleh akibatkan radang kulit

Serangan ulat bulu hitam boleh akibatkan radang kulit

YUNUS Saad, 59, menunjukkan ulat bulu hitam yang menyerang kawasan Kampung Tebengau Tepi Laut di Kuala Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Penduduk di Kampung Tepi Laut Mukim Tebengau, Kuala Kedah dinasihatkan berhati-hati dengan serangan ulat bulu hitam di kawasan itu kerana boleh mengakibatkan radang pada kulit sekiranya berlaku sentuhan atau terkena cecair ulat tersebut.

Jabatan Pertanian dalam kenyataan memaklumkan, ulat yang juga dikenali sebagai Rama-Rama Jati itu sering terdapat di kawasan tropika dan hidup secara semula jadi di kawasan hutan dan paya bakau.

Katanya, pihak mereka mengambil maklum berkenaan dengan laporan akhbar pada 23 November lalu berkenaan dengan serangan ulat terbabit yang tertumpu di kampung berkenaan.

“Anggaran keluasan serangan adalah seluas 20 hektar dan berdasarkan maklumat Jabatan Pertanian, serangan ini pernah berlaku dan berulang di kawasan yang sama pada tarikh 27 November 2016.

“Merujuk pada data yang diambil dari serangan yang lalu, ulat ini dikenali sebagai Hyblaea puera (Carmer, 1777) dari Order Lepidoptera dan Keluarga Hyblaeidae atau nama biasanya Rama-Rama Jati (Teak Defoliator),” katanya di sini, hari ini. 

Akhbar ini melaporkan, selepas tujuh tahun, penduduk Kampung Tebengau Tepi Laut di Kuala Kedah kembali diancam sejenis ulat yang pernah mengganggu keselesaan hidup mereka hingga memerlukan bantuan daripada agensi kerajaan berkaitan pada 2016.

Ulat seakan beluncas berwarna hitam yang hadir dalam jumlah cukup banyak itu, didakwa mampu menyebabkan individu yang terkenanya merasa gatal selain mematikan tumbuhan termasuk tanaman penduduk serta pokok api-api yang berada di kawasan bakau di situ.

Tambah Jabatan Pertanian, siasatan dan hasil diagnostik oleh Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT) mendapati ulat tersebut memakan daun pokok api-api yang tumbuh sekitar pesisir pantai sehingga menyebabkan serangan pada bahagian daun dan tanaman tersebut tidak dapat melakukan proses fotosintesis sebelum mati. 

Katanya, kitaran hidup Rama-Rama Jati tersebut mengambil masa antara 18 hingga 36 hari iaitu daripada peringkat telur hingga dewasa dan bergantung kepada keadaan cuaca serta kedapatan sumber makanan.

“Ulat bulu hitam ini adalah serangga perosak utama pokok jati dan ia juga perosak minor kepada lebih 45 jenis tumbuhan yang kebanyakannya adalah pokok hutan atau paya bakau termasuk pokok api-api atau nama saintifiknya Avicennia spp. yang terdapat di pesisiran laut berhampiran kampung tersebut. 

“Serangan perosak ini kerap dilaporkan menyerang kawasan tanaman jati semula jadi dan komersial selain tumbuhan hutan di negara-negara Asia Tenggara, India, Mexico, Bangladesh, China, Amerika Tengah, Afrika, Australia dan kepulauan Caribbean,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya