‘Semoga Hafiz ditemukan segera’ - Utusan Malaysia

‘Semoga Hafiz ditemukan segera’

MOHAMAD Naquib Jasmi menunjukkan gambar Mohd Hafiz yang disimpan dalam telefon bimbitnya ketika ditemui di rumahnya di Kulim, Kedah semalam. – UTUSAN/AZAHAR HASHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Keluarga Mohd. Hafiz Jasmi, 38, seorang guru yang hilang di kawasan peranginan Sungai Sedim sejak 10 November lalu, menye­rahkan urusan pencarian kepada pihak polis sepenuhnya.

Ini selepas mereka dimaklumkan mengenai petunjuk baharu terhadap kes tersebut kelmarin.

Adik mangsa, Mohamad Naquib berkata, ahli kelurganya menge­tahui perkembangan itu melalui laporan berita dan memaklumkannya kepada ibu, Zaiton Othman, 64.

“Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada polis serta semua pihak yang membantu.

“Saya berharap mereka yang ingin­ mencari abang terutama di kawasan berisiko seperti di Sungai Sedim menjaga keselamatan dan ikut saluran yang betul untuk elak perkara tidak diingini berlaku,” katanya di sini semalam.

Kelmarin Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Azizul Mohd Khairi berkata, hasil maklumat daripada seorang saksi di tempat kejadian mendapati, Mohd. Hafiz dipercayai sudah meninggalkan kawasan peranginan itu pada hari dia dilaporkan hilang.

Katanya, polis menemukan petunjuk bahawa orang hilang terbabit kini masih hidup sekali gus menghentikan pencarian di Sedim dan seterusnya membuka kepada orang awam sekiranya memiliki apa-apa maklumat.

Sementara itu Mohamad Naquib berkata, mereka sekeluarga masih tidak mengetahui punca sebenar misteri kehila­ngan abangnya yang mengajar subjek Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah di sini.

Katanya, abang sulungnya itu seorang yang ceria dan amat rapat dengan murid-murid di sekolah.

Menurutnya, dia dimaklumkan oleh guru besar bahawa murid-muridnya amat merindui guru mereka dan berharap Mohd. Hafiz segera kembali mengajar.

“Saya jarang berjumpa dengan abang kerana saya tinggal di Tasek Gelugor, Pulau Pinang dan setiap kali cuti hujung minggu atau cuti umum baru berkesempatan berjumpa dengannya.

“Sepanjang yang saya tahu dia tidak menceritakan masalahnya ataupun mengadu kepada saya atau adik-adik yang lain. Malah jika bertemu di rumah, dia sentiasa ceria,” katanya.

Tambahnya, jika orang ramai mengetahui di mana lokasi abangnya itu berada, diminta meng­hubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Sementara itu Zaiton bersyukur dengan perkhabaran anaknya yang masih hidup dan reda dengan ujian yang diberikan Allah serta hanya mampu berdoa dengan harapan agar anak sulungnya ditemukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN