Sekolah vernakular boleh guna bahasa Mandarin, Tamil

Sekolah vernakular boleh guna bahasa Mandarin, Tamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan semalam memutuskan sekolah vernakular di negara ini boleh terus beroperasi manakala penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah berkenaan, sah di sisi undang-undang.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian memutuskan demikian ketika menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) dan keabsahan sekolah itu.

Perayu-perayu terdiri daripada Mohd. Zai Mustafa bagi pihak Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim) manakala tiga yang lain ialah Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Sementara itu, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Mappim dan Gapena dalam sidang media selepas keputusan itu berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan dalam tempoh 30 hari.

Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang lain daripada bahasa Melayu, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ketika membacakan alasan ringkas penghakiman, Hakim Azizul Azmi berkata, bahasa Mandarin dan Tamil sebagai pengantara tidak seharusnya dihalang kerana penggunaannya dianggap bukan untuk urusan rasmi seperti yang dinyatakan di bawah Perkara 152(6) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, persoalan yang dibangkitkan adalah sama ada penggunaan bahasa pengantar di sekolah tertakluk untuk `urusan rasmi’ dan sama ada sekolah dianggap sebagai sebahagian daripada ‘kerajaan’ atau ‘pihak berkuasa awam’ di bawah Perkara 152(6).

Hakim Azizul Azmi berpendapat, sekolah tidak dikategorikan sebagai pihak berkuasa statutori mahupun pihak berkuasa awam dan menjadikan bahasa selain bahasa Melayu di sekolah kebangsaan boleh digunakan kerana ia bukan untuk tujuan rasmi.

Hakim Azizul Azmi bagaimanapun bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan adalah dibenarkan kerana ia terlindung di bawah Perkara 152(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152(1)(b) menyatakan, tiada apa-apa yang boleh menjejaskan hak Kerajaan Persekutuan atau hak mana-mana kerajaan negeri untuk memelihara dan meneruskan penggunaan dan pengajian bahasa mana-mana kaum lain di dalam Persekutuan.

Pada hemat panel itu, peruntukan undang-undang tersebut mempunyai kesan `melestarikan’ penggunaan bahasa lain ketika pengisytiharan kemerdekaan.

Hakim Azizul Azmi turut berpendapat, jika penggunaan bahasa selain bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah sudah wujud sebelum merdeka, maka kerajaan melalui proviso (b), mempunyai hak untuk memelihara dan mengekalkan penggunaannya.

Sementara itu, di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan yang sebulat suara menolak rayuan difailkan oleh empat NGO yang memohon untuk mengisytiharkan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SJKC dan SJKT akan terus beroperasi menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajian, pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN