Sekolah tahfiz Aman Palestin di Gaza diserang Israel

Sekolah tahfiz Aman Palestin di Gaza diserang Israel

Sekolah Tahfiz Malaysia di Gaza yang ditaja oleh Aman Palestin Malaysia ketika dibuka pada 2017 tidak terkecuali menjadi sasaran serangan rejim Zionis Israel kelmarin dan awal pagi semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah sekolah tahfiz yang dibiayai Aman Palestin Bhd. (Aman Palestin) yang kini menjadi tempat perlindungan untuk lebih 4,000 rakyat Palestin diserang tentera rejim Zionis Israel sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Pengurus Jabatan Media dan Komunikasinya, Ismail Muhammad Juffri berkata, sekolah yang berada di Nusierat, Gaza itu dicerobohi oleh Israel yang melakukan dua serangan iaitu petang kelmarin dan awal pagi semalam.

“Serangan pertama dilakukan kira-kira pukul 5 petang kelmarin dan menyebabkan ramai rakyat Palestin yang berlindung di sekolah tersebut syahid. Serangan kedua pula pada 1.45 pagi tadi apabila ia dibom serta menyebabkan lebih ramai yang syahid.

“Jumlah kematian masih belum dapat ditentukan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, tentera Israel turut melepaskan tembakan rambang sehingga terkena rakyat Gaza yang berlindung di sekolah tersebut.

“Akibatnya lebih 20 orang cedera akibat tembakan yang dilepaskan oleh tentera Israel. Mangsa-mangsa kecederaan telah dihantar ke hospital yang berhampiran iaitu Hospital Syuhada Al-Aqsa, Dir Balah,” katanya.

Tambahnya, walaupun diserang dan dibom, sebahagian sekolah itu masih berada di dalam keadaan baik.

“Bahagian-bahagian lain di sekolah tu masih lagi elok dan boleh digunapakai. Untuk mangsa yang terselamat pula saya yakin ia akan dipindahkan ke sekolah luar yang lain,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN