RM206,000 lenyap ditipu 'pegawai' syarikat kurier - Utusan Malaysia

RM206,000 lenyap ditipu ‘pegawai’ syarikat kurier

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Gara-gara percaya dengan kiriman bungkusan barang terlarang, seorang penjawat awam kerugian RM206,000 selepas ditipu individu menyamar sebagai pegawai syarikat kurier dan pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku pada 5 Oktober lalu apabila wanita berusia 49 tahun itu menerima panggilan telefon mengatakan terdapat bungkusan di atas nama mangsa yang mengandungi barang terlarang.

Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang ‘pegawai’ polis dari Ibu pejabat Kontinjen (IPK) Perlis yang turut mendakwa barang dalam bungkusan atas nama wanita itu ada kaitan dengan pengubahan wang haram selain mempunyai satu rekod jenayah.

“Wanita itu kemudiannya diarahkan membuat pemindahan wang berjumlah RM54,000 ke dalam satu akaun bank individu lain bagi mengelakkan akaunnya dibekukan. Tidak habis di situ, wanita itu kemudiannya diminta untuk menyediakan RM200,000 dalam akaun bank sebagai jaminan untuk tidak dituduh bagi kes pengubahan wang haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ismail, wanita itu juga telah menyerahkan maklumat perbankan kepada suspek untuk tujuan yang sama.

Katanya, setelah mangsa membuat semakan dengan pihak bank, terdapat pemindahan secara berperingkat berjumlah RM152,000 tanpa disedarinya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksima 10 tahun dan sebat serta denda. Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai keraguan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN