KLUANG: Seorang wanita hanya mampu memeluk erat empat orang anaknya serta berkurung di dalam bilik tidur selepas rumahnya di Kampung Melayu Nyior dekat sini dilanda hujan lebat dan angin kencang, petang semalam.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu menyebabkan sebahagian atap zink yang melitupi bahagian dapur rumahnya diterbangkan angin sebelum reda kira-kira sejam kemudian.
Nur Syauqina Fadllih, 36, berkata, dia yang masih dalam berpantang selepas melahirkan anak keempat yang kini berusia 30 hari tidak dapat melakukan apa-apa kecuali bertindak menghimpunkan tiga lagi anaknya yang berusia lima hingga 10 tahun di dalam bilik tidur mereka.
Katanya, deruan angin kuat seakan-akan cuba mencabut bumbung rumah mereka membuatkan semua anak-anaknya berpelukan kerana berasa takut.
“Suami, Muhammad Hafiz Atan, 35, ketika kejadian berada di Johor Bahru kerana bekerja sebagai pemandu lori menyebabkan kejadian ini terpaksa saya hadapi sendiri dengan anak-anak walaupun berpantang.
“Namun, kami bersyukur tiada sebarang kejadian buruk berlaku kecuali sebahagian bumbung rumah bahagian dapur yang tercabut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Syauqina lagi, walaupun bumbung rumah bahagian dapur rosak, namun, dia mengambil pendekatan untuk terus tinggal di situ kerana kerosakan tidak melibatkan bahagian lain.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Lee Ting Han ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, tindakan segera sudah dilakukan oleh pihaknya bersama-sama dengan Pejabat Daerah Kluang serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kluang.
Menurut Thing Han yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Johor, penilaian kerosakan sudah dilakukan dan penggantian akan dilakukan secepat mungkin agar keluarga ini boleh menjalankan kehidupan harian seperti biasa.
“Bantuan kewangan serta keperluan dapur turut disalurkan kepada keluarga ini bagi membantu meringankan beban mereka,” katanya. -UTUSAN










