Remaja autisme jual kek, jana pendapatan keluarga - Utusan Malaysia

Remaja autisme jual kek, jana pendapatan keluarga

MUHAMMAD Adam Mukhriz Mohd. Nor Safarul (kanan) menjual kek yang dibuatnya bagi menjana pendapatan keluarga setelah ibunya disahkan menghidap penyakit tibi tulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang remaja autisme, Muhammad Adam Mukhriz Mohd. Nor Safarul, 16, yang mesra dipanggil Adam memanfaatkan kemahiran dipelajarinya dalam pembuatan kek sejak berusia 11 tahun bagi membantu menjana pendapatan keluarga.

Ini selepas ibunya, Norazaemi Ibrahim, 47, disahkan menghidap penyakit tibi tulang sekitar September tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Norazaemi berkata, akibat penyakit dialami, Adam terpaksa berhenti sekolah kerana tidak dapat berjalan apabila penyakit terbabit menyerang kedua-dua kakinya hingga perlu menggunakan kerusi roda.

“Adam suka memasak dan mahu jadi seperti Gordon Ramsey dan kerana itu dia menunjukkan minat membuat kek.

“Memandangkan kami sama-sama berminat jadi saya ambil kelas jarak jauh membuat kek dan kemudian mengajarnya. Adam mengambil inisiatif sendiri mempelajarinya secara dalam talian, tambahan pula dia lebih cenderung belajar secara visual,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Perkampu­ngan Sungai Isap Damai di sini.

Norazaemi yang juga bekas penasihat perancangan bandar berkata, pada awalnya Adam hanya menonton video memasak secara suka-suka dan tidak menyangka ia boleh menjadi bisnes yang baik.

“Adam menerima tempahan daripada cikgu di sekolah­nya serta beberapa pihak yang mengetahui kebolehannya.

“Antara kek yang mendapat sambutan ialah kek Brownies dan Congo Bar. Uniknya Adam tidak menggunakan barangan biasa malah lebih gemar menggunakan barangan premium agar hasilnya lebih istimewa,” katanya.

Norazaemi berkata, ada juga antara rakannya mengetahui tentang kemahiran Adam lalu menawarkan diri untuk membantu menjual keknya di beberapa tempat termasuk kedai makan hingga mendapat perhatian ramai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN