Malaysia memajukan industri unsur nadir bumi Lempung Jerapan Ion (IAC-REE) secara agresif, lestari dan bertanggungjawab kerana ia platform pendapatan baharu bernilai tinggi yang dapat membantu negara keluar dari kemelut ekonomi.
Terdapat 10 negeri membabitkan 29 kawasan mempunyai unsur IAC-REE dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai pasaran RM810 bilion.
Negeri terbabit adalah Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Sarawak, Selangor dan Terengganu.
Tiga negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang serta dua di negeri di utara iatu Perak dan Kedah merekodkan jumlah IAC-REE melebihi satu juta tan.
Terengganu paling banyak mempunyai IAC-REE di lima kawasan iaitu Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman dan Dungun membabitkan 7.2 juta tan dengan nilai pasaran berjumlah RM362 bilion.
Kelantan negeri kedua membabitkan kawasan Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang membabitkan 2.5 juta tan IAC-REE, nilai pasaran RM2.9 bilion, Perak (1.6 juta tan), Pahang (1.2 juta tan) dan Kedah (1.1 juta tan).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, felo perunding utama di Pusat Kelestarian Mineral dan Teknologi Pemulihan Sumber (Pusat SMaRRT) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Datuk Ir. Dr. Badhrulhisham
Abdul Aziz berkata, demi pemulihan ekonomi, sudah sampai masanya Malaysia meneroka unsur IAC-REE secara agresif.

Beliau berkata, industri nadir bumi akan muncul sebagai sumber pertumbuhan baharu negara berasaskan IAC-REE yang mampan dan mesra alam.
“Unsur ini diperlukan dalam pembuatan bateri, super magnet dan alatan elektronik. Industri ini dijangka menyumbang secara kumulatif hampir RM30 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dari 2025 hingga 2030 serta berpotensi mewujudkan hampir 25,000 peluang pekerjaan.
“Sebagai permulaan, negeri-negeri yang ada unsur ini boleh ambil sekurang-kurangnya lima peratus bagi meningkatkan daya ekonomi.
“Untuk dikomersialkan, perlu perincian dan dinisbahkan ke KDNK setiap negeri, apa yang lebih penting lima peratus daripada jumlah rizab mencukupi untuk pengeluaran sekurang-kurangnya 20 tahun,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan Malaysia menyimpan tiga unsur IAC-REE dianggarkan berjumlah 16.1 juta tan metrik dengan nilai komersial menghampiri RM1 trilion.
Sumber unsur IAC-REE itu dianggarkan mencecah harga RM2 juta bagi satu tan metrik dengan nilai keseluruhan pasaran RM809.6 bilion.
Tiga unsur berkenaan banyak terdapat di Terengganu, Kelantan, Perak, Pahang dan Kedah adalah Praseodymium (Pr) berharga RM577,212 satu tan metrik, Neodymium (Nd) RM593,336 satu tan metrik dan Dysprosium (Dy) yang. bernilai RM1.96 juta satu tan metrik.
Dianggarkan pada 2030, antara 40,000 hingga 70,000 tan metrik Pr, Nd dan Dy diperlukan untuk menghasilkan bateri teknologi kenderaan elektrik (EV) serta magnet berprestasi tinggi.
Mengulas lanjut, Badhrulhisham berkata, sehingga kini beliau melihat insentif dan ekosistem tidak memberangsangkan untuk negara meneroka unsur IAC-REE.
“Kerajaan Pusat dilihat seolah-olah terlalu memihak kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar yang kadangkala data dan maklumatnya tidak tepat.
“Demi ekonomi negara, kita boleh majukan industri nadir bumi secara agresif dengan membawa pendekatan perlombongan yang mesra alam dan bertanggungjawab. Negara akan dapat keluar daripada kemelut ekonomi,” tegasnya.
Sementara itu, Pengarah Pusat SMaRRT UMPSA, Prof. Madya Dr. Mohd. Yusri Mohd. Yunus berkata, pengkomersialan IAC-REE perlu dilaksanakan secara komprehensif yang perlu mengambil kira impak kepada alam sekitar.
Jelasnya, selain cara melombong tradisional, antara kaedah yang boleh dilaksanakan adalah perlombongan in-situ leaching (ISL).
“Tertakluk kepada syarat pengoperasian dan kawal selia air bawah tanah yang mampan, kaedah perlombongan ISL memberi beberapa kelebihan berbanding kaedah perlombongan konvensional lain seperti lombong terbuka atau bawah tanah.
“Antaranya seperti meminimumkan impak terhadap permukaan bumi iaitu tidak perlu penerokaan hutan secara berleluasa dan agresif, kadar pelepasan gas rumah hijau yang rendah, sistem operasi yang kurang pencemaran habuk dan bunyi, selain kos operasi yang rendah serta tahap keselamatan pekerjaan yang baik,” katanya.
Infografik IAC-REE
*Negeri: Johor
Daerah: Muar, Ledang, Batu Pahat
Anggaran sumber (tan): 562,500
Nilai (RM bilion): RM28.35 bilion
*Negeri: Kedah
Daerah: Yan, Kulim, Sik, Baling
Anggaran sumber (tan): 1,125,000
Nilai (RM bilion): RM56.70 bilion
*Negeri: Kelantan
Daerah: Jeli, Tanah Merah, Gua Musang
Anggaran sumber (tan): 2,562,500
Nilai (RM bilion): RM129.15
*Negeri: Melaka
Daerah: Jasin
Anggaran sumber (tan): 125,000
Nilai (RM bilion): RM6.30 bilion
*Negeri: Negeri Sembilan
Daerah: Jelebu, Kuala Pilah
Anggaran sumber (tan): 687,500
Nilai (RM bilion): RM34.65 bilion
*Negeri: Pahang
Daerah: Bentong, Raub
Anggaran sumber (tan): 1,250,000
Nilai (RM bilion): RM63.00 bilion
*Negeri: Perak
Daerah: Hulu Perak, Kerian, Kuala Kangsar, Kinta
Anggaran sumber (tan): 1,687,500
Nilai (RM bilion): RM83.05 bilion
*Negeri: Sarawak
Daerah: Simunjan, Sematan-Lundu
Anggaran sumber (tan): 125,000
Nilai (RM bilion): RM6.30 bilion
*Negeri: Selangor
Daerah: Hulu Selangor, Gombak, Hulu Langat
Anggaran sumber (tan): 750,000
Nilai (RM bilion): RM37.80 bilion
*Negeri: Terengganu
Daerah: Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Kemaman, Dungun
Anggaran sumber (tan): 7,187,500
Nilai (RM bilion): RM362.25 bilion-











