Polis lepas dua das tembakan, suspek pandu kereta curi ditahan - Utusan Malaysia

Polis lepas dua das tembakan, suspek pandu kereta curi ditahan

TAN CHENG SAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

SEBERANG PERAI: Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan selepas seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Wira cuba merempuh kenderaan polis dalam kejadian di Taman Bukit Indah, Bukit Mertajam, di sini malam semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam itu, suspek berusia 20-an berkenaan bagaimanapun berjaya ditahan polis.

Terdahulu, ujar beliau, suspek yang memandu di sekitar kawasan Kulim Hi-Tech diminta berhenti oleh anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim susulan memandu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun, tambahnya, suspek bertindak memecut ke arah kawasan Bukit Mertajam semasa anggota polis menghampiri kenderaan terbabit.

“Semasa berada di jalan Taman Bukit Indah, suspek telah melalui jalan mati dan anggota polis mengarahkan suspek supaya menyerah diri.

“Suspek bertindak membuat pusingan ‘U’ dan terus memecut ke arah anggota MPV serta melanggar bahagian hadapan kereta peronda polis.

“Dua das tembakan terpaksa dilepaskan anggota bagi tujuan mempertahankan diri dan mengenai bahagian tayar hadapan sekali gus menyebabkan kereta suspek terbabas,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki enam rekod kesalahan lampau dan satu rekod orang dikehendaki oleh IPD Kulim.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan yang dipandu suspek mendapati ia dilaporkan hilang di Nibong Tebal semalam (2 November).

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya