IPOH: Perikatan Nasional (PN) Perak tidak pernah mempertikaikan atau membuat kenyataan kerajaan negeri tidak lagi menyalurkan peruntukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang seperti yang didakwa oleh Pemuda UMNO Perak.
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sehubungan itu pihaknya pelik terhadap dakwaan Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaluddin yang memainkan naratif isu itu dalam wawancara Lepak @ Pemuda UMNO Perak bersama Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad baru-baru ini.
Menurutnya, Nazirul dilihat seolah-olah cuba mengheret atau menimbulkan satu polemik tidak baik kepada Menteri Besar apabila menuduh ADUN PN tidak diberikan peruntukan.
“PN Perak memandang serius perkara yang dibangkit itu dan amat pelik mengapa isu itu dimainkan oleh Pemuda UMNO Perak atau mungkin terdapat salah faham dalam isu ini.
“Saya tegaskan, tiada satu ADUN PN yang pernah mempertikaikan peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri seperti yang digambarkan oleh Nazirul,” katanya dalam satu kenyatan di sini hari ini.
Beliau yang juga ADUN Sungai Manik mengucapkan terima kasih kepada Saarani kerana masih mengekalkan dasar yang diputuskan bersama dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang pertama semasa Saarani sebagai Menteri Besar dan ketika itu Zainol Fadzi merupakan exco kanan kerajaan negeri.
Katanya, keputusan dalam mesyuarat itu yang dipengerusikan oleh Saarani menetapkan sesiapa pun yang menjadi kerajaan, peruntukan kepada ADUN Pembangkang tetap akan diberikan.
“Namun peruntukan itu amat terhad dan tidak mencukupi bagi menampung permohonan rakyat jika melibatkan kos yang besar atau memohon sesuatu projek dijalankan.
“Berbanding ADUN kerajaan, mereka boleh salurkan sebarang permohonan kepada kerajaan negeri malahan di peringkat kerajaan Persekutuan melalui menteri yang berkaitan, malah mudah untuk dapatkan peruntukan.
“Adakah kerajaan negeri atau Pusat bersedia meluluskan permohonan ADUN pembangkang jika terdapat sebarang permohonan untuk dimajukan bagi menghormati hak rakyat yang telah memilih wakil rakyat mereka,” katanya.
Zainol Fadzi berkata, PN Perak merakamkan ucapan terima kasih kepada ketua jabatan di peringkat negeri dan Pusat termasuk di daerah-daerah yang sentiasa memberi respon cukup baik.
“Kami turut menzahirkan penghargaan kepada pegawai dan penjawat awam agensi terlibat dalam memberi kerjasama kepada ADUN PN jika timbul sebarang permasalahan di kawasan kami,” katanya. – UTUSAN