Perhimpunan Bersatu: Muhyiddin arah tambah ahli sehingga sejuta - Utusan Malaysia

Perhimpunan Bersatu: Muhyiddin arah tambah ahli sehingga sejuta

Ahli Bersatu
MUHYIDDIN Yassin ditemui pemimpin selepas menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kepemimpinan dan anggota parti Bersatu di peringkat bahagian digesa meningkatkan penubuhan sehingga 12,000 cawangan bagi membolehkan penambahan seramai sejuta keahlian dicapai pada tahun hadapan.

Ketika ini, parti itu mempunyai sebanyak 7,352 cawangan di seluruh negara dengan jumlah keahlian seramai 600,667 orang sehingga 20 November lalu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau mencabar ahli dan pemimpin parti di semua peringkat menambah 400,000 lagi keahlian menjelang tahun hadapan untuk menjadikan Bersatu memiliki ahli seramai sejuta orang.

“Saya hendak beri satu arahan baharu supaya parti kita dalam tempoh tahun hadapan sampai tahun hadapan ahli Bersatu boleh menjangkau sejuta boleh ke tidak? Kalau boleh usahakan setahun kehadapan tambah lagi 400,000 orang setiap ahli cari seorang ahli baharu maka parti kita sudah dilihat lebih kukuh.

“Tambah cawangan, sudah ada 7,000 cawangan kena tambah 10,000 cawangan kerana ada bahagian yang cawangannya cuma satu, dua dan tiga, sehingga Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) terpaksa buat peraturan sebelum akhir tahun mesti ada sekurang-kurangnya 10 cawangan (setiap bahagian).

“Kalau tak ada maka tak boleh sertai pemilihan pada tahun hadapan, takkan tak boleh tambah, takkan nak sekat cawangan, saya hendak ulang di sini, saya hendak melihat keahlian kita meningkat sampai sejuta,” katanya dalam ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Keenam 2023, hari ini.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri itu menggesa keahlian dibuat secara terbuka tanpa sebarang sekatan seperti ditetapkan dalam Perlembagaan Bersatu untuk memastikan parti dapat berkembang dan meraih lebih banyak sokongan.

“Saya tak mahu melihat ada perbalahan ada orang sana tubuh (cawangan) orang sini pun tubuh ‘saya tak tahu’, maknanya ikutlah peraturan.

“Kerana perlembagaan kita mengatakan dengan jelas kita menerima sesiapa sahaja khususnya orang Melayu dan bumiputera untuk menyertai kita, tak boleh sekat tak boleh halang.

“Jadi, itu satu daripada tugas kita, yang penting saya hendak sebutkan kita berada di sini kerana hendak menentukan parti menjadi tunggak kekuatan untuk bukan seketika berada sebagai pembangkang tetapi untuk tempoh mendatang, kita mahu jadi sebuah kerajaan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Pagoh itu dalam ucapan sama menempelak sikap pihak tertentu yang disifatkan cuba melagakan Bersatu dengan Pas dengan membandingkan kedua-dua parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu.

“Ada orang bandingkan kita dengan Pas, hendak kata compare apple to apple tidak juga, kerana Pas sudah pun wujud lebih 70 tahun, kita baru tujuh tahun. Tetapi, kita boleh buat walaupun belum sampai satu dekad.

“Dalam pilihan raya umum (PRU) lepas orang kata parti kita tak sekuat Pas, saya tak mahu membandingkan begitu. Kalau tak kerana kita, Pas mungkin tak sampai ke mana lebih daripada apa yang ada pada hari ini, kalau tak kerana Pas kita mungkin pun tak sampai ke mana kerana kita saling memerlukan antara satu sama lain,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya