Kongres Koperasi Kebangsaan himpun 5,000 koperasi 25 Julai depan - Utusan Malaysia

Kongres Koperasi Kebangsaan himpun 5,000 koperasi 25 Julai depan

Kongres Koperasi Kebangsaan
ABDUL Fattah Abdullah merasmikan Program Durian Harvest Komaju, di Shah Alam, Selangor, malam tadi. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sebanyak 5,000 koperasi di seluruh negara bakal dihimpunkan dalam Kongres Koperasi Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung pada 25 Julai depan.

Kongres kali ketiga di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur itu diadakan selepas kali terakhir dianjurkan lebih 55 tahun lalu iaitu pada 1969.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, penganjuran persidangan seumpama itu penting bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan gerakan koperasi.

“Kongres itu akan memfokuskan agenda membahaskan resolusi selepas libat urus koperasi di peringkat negeri yang dijalankan sebelum ini. Kita akan mengadakan persidangan dan membuat rumusan mengenai isu yang dibangkitkan kelak.

“Terdapat empat perkara utama yang mahu dilihat antaranya berkaitan ekosistem, identiti dan akta keseluruhan yang melibatkan koperasi,” katanya selepas merasmikan Program Durian Harvest Koperasi Usaha Maju Kuala Lumpur (Komaju), malam tadi.

Kongres Kerjasama Malaysia kali pertama diadakan di Universiti Malaya pada 1966 bagi menyatukan semua koperasi dalam satu gerakan secara lebih menyeluruh. Hasil penubuhan kongres itu kemudian membawa kepada penubuhan Angkasa pada 1971. 

Dalam pada itu, kata Abdul Fattah, koperasi disaran menerokai bidang pertanian baharu berimpak tinggi yang mampu menjana sumber pendapatan dan perolehan positif.

“Ia antaranya durian, vanila dan buah koko yang dilihat menerima permintaan tinggi di peringkat antarabangsa. Koperasi perlu lebih terbuka menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk entiti bukan koperasi dalam memperluaskan lagi operasi mereka,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN