Penyokong 'Bossku' mahu Najib-Muhyiddin lupa sengketa lama

Penyokong ‘Bossku’ mahu Najib-Muhyiddin lupa sengketa lama

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak atau dikenali ‘Bossku’ mahu bekas Perdana Menteri itu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin melupakan ‘sengketa’ lama bergerak bersama demi negara dan rakyat.

Perkembangan positif itu boleh dilihat selepas Muhyiddin mendoakan kesembuhan Najib yang kini sedang dirawat di hospital akibat dijangkiti Covid-19, semalam.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz berkata, negara akan menjadi lebih hebat jika dua figura ini bergabung ketika rakyat sedang menderita dengan masalah ekonomi dan kos sara hidup.

“Saya yakin harga bahan keperluan asas akan naik lebih tinggi apabila minyak diesel ditarik subsidi dan cukai perkhidmatan (SST) naik 8 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penantian penyokong tegar Najib selama tujuh tahun akhirnya terlerai selepas Muhyiddin secara terbuka mendoakan Najib sekali gus sebagai satu isyarat bahawa keadilan untuk Najib akan tercapai sekiranya bersama dengan Perikatan Nasional (PN).

Malah, beliau yakin UMNO akan kembali kukuh dan Najib berada semula di arena politik tanah air sekiranya bersama dengan PN.

“Kita tunggu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang tetapi momentum harus kita mainkan.

“Kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), percayalah kita akan gembleng tenaga untuk bersama PN. Ayuh kita ke sana, jangan tunggu lagi.

“Ingatlah, berpeganglah dengan tali Allah, janganlah kamu bercerai-berai. Insya-Allah, Muhyiddin dan Najib akan bergabung kali ini,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Pagoh itu mendoakan Najib supaya diberi kesembuhan daripada Covid-19, seolah-olah memberi gambaran mereka sedang ‘berhubung baik’ antara kedua-dua pemimpin itu.

Kedua-dua bekas pemimpin nombor satu negara itu seperti mahu membuka lembaran baharu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada wujud usaha kerjasama baharu atau sebaliknya kelak.

Dalam hantaran terbaharu Pengerusi PN itu, Muhyiddin mendoakan kesihatan Najib yang sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan positif wabak itu.

“Saya dimaklumkan bahawa Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur selepas disahkan positif Covid-19.

“Saya mendoakan semoga Allah SWT memberikan kesembuhan kepada Datuk Seri Najib Razak dan dipermudahkan urusan rawatan beliau,” katanya menerusi Facebook beliau.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani kuarantin serta rawatan di HKL.

Najib mula menjalani hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos tahun lalu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya atas penyalahgunaan lebih RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya