2 Mei dengar permohonan Tengku Zafrul sebagai pencelah

2 Mei dengar permohonan Tengku Zafrul sebagai pencelah

Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan Khamis ini untuk mendengar permohonan Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebagai pencelah berkaitan perintah tahanan rumah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu memohon sebagai pencelah supaya dibenarkan mahkamah memfailkan afidavit bagi membetulkan dakwaan kesilapan fakta afidavit dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyokong permohonan semakan kehakiman oleh Najib.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi media hari ini mengesahkan Hakim Datuk Amarjeet Singh menetapkan pukul 2.30 petang, 2 Mei ini untuk mendengar permohonan berkenaan.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan oleh mahkamah melalui emel semalam berhubung tarikh pendengaran terbabit.

Tengku Zafrul sebelum ini telah menghantar surat kepada mahkamah bagi memohon kebenaran untuk memfailkan afidavit membetulkan fakta dalam afidavit yang difailkan Ahmad Zahid.

Pada 17 April lalu, Tengku Zafrul dalam satu kenyataan memaklumkan akan membuat pembetulan fakta terhadap afidavit tambahan oleh Ahmad Zahid antara lain mengesahkan kewujudan Titah Adendum (tambahan) namun tidak mendedahkan kesilapan fakta yang dimaksudkan.

Menurut afidavit tambahan yang difailkan oleh Ahmad Zahid pada 9 April lalu, selain mengesahkan telah melihat dan membaca Titah Adendum tersebut, Ahmad Zahid turut menyatakan selain dirinya dan Tengku Zafrul; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan anggota kerajaan lain telah melihat salinan Titah Adendum tersebut dan boleh mengesahkan perkara sama.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid memaklumkan bahawa beliau tidak mempunyai salinan titah tersebut memandangkan titah berhubung tahanan dalam rumah itu belum dilaksanakan namun percaya bahawa Peguam Negara mempunyai salinan titah tersebut.

Pada 1 April lalu, Najib memfailkan semakan kehakiman antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di Penjara Kajang.

Menurut afidavit yang difailkan, bekas Perdana Menteri itu mendakwa menerima ‘maklumat yang sahih’ berhubung Titah Adendum pada 12 Februari lalu.

Kata pemohon, pada 29 Januari lalu, Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan ‘titah utama’ iaitu supaya hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun dan denda dikurangkan kepada RM50 juta.

Najib mendakwa titah adendum turut dikeluarkan pada tarikh sama tetapi mendakwa ia tidak didedahkan oleh mana-mana responden sehingga kini.

Pada 14 Februari, Najib te­lah mengarahkan peguamnya menghantar surat kepada Peguam Negara yang turut di­salinkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahmad Zahid bagi memohon pengesahan berhubung Titah Adendum tersebut.

Peguam Najib turut memohon salinan asal titah utama dari Penjara Kajang tetapi tidak dijawab sehingga kini.

Najib mendakwa, kegagalan kesemua responden menjawab surat atau mengesahkan kewujudan Titah Adendum itu adalah sesuatu yang tidak rasional, tidak munasabah, me­nyalahi undang-undang dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN