KUALA LUMPUR: Badan Peguam Malaysia memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman dan denda Datuk Seri Najib Tun Razak.
Lembaga Pengampunan sebelum ini mengurangkan hukuman bekas Perdana Menteri itu kepada enam tahun dan denda sebanyak RM50 juta daripada hukuman asal.
Permohonan itu difailkan firma guaman Amir & Rajpal Ghai bagi pihak badan berkenaan.
Badan itu selaku pemohon menamakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan Najib masing-masing sebagai responden pertama dan kedua dalam permohonan semakan itu.
Dalam permohonan berkenaan, Badan Peguam memohon perisytiharan bahawa keputusan Lembaga Pengampunan itu menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan tidak sah, sehubungan itu ia memohon perintah certiorari terhadap lembaga terbabit untuk membatalkannya.
Selain itu, badan tersebut mahu injunksi kekal menghalang Najib selaku responden kedua atau wakilnya daripada mengemukakan sebarang permohonan untuk pengampunan, tunda hukum atau lega hukum kepada bekas Ahli Parlimen Pekan itu sehingga dan melainkan semua pendakwaan jenayah atau pertuduhan terhadapnya selesai.
Dalam pada itu, mereka mahu injuksi kekal itu sehingga Najib secara terbuka mengambil tanggungjawab atas tindakan-tindakannya yang dia telah disabitkan dan menyatakan keinsafannya dan penyesalannya atas tindakan-tindakan tersebut.
Permohonan itu yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 24 April lalu disertakan afidavit sokongan yang dikemukakan Setiausaha Badan Peguam, Murshidah Mustafa.
Tarikh untuk mendengar permohonan semakan ditetapkan pada 2 Julai ini.
Sebelum ini Badan Peguam pernah mengumumkan rancangan mereka memfailkan cabaran mahkamah berkenaan.
Najib sebelum ini dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan jenayah.
Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Sehubungan itu, Mohd. Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos 2022. – UTUSAN









